"Tiada Layanan Istimewa Buat Salah, Dia Pemain Mesir Sama Seperti Pemain Yang Lain!" - Jurulatih Mesir, Javier Aguirre




Dalam sidang media sebelum perlawanan pembukaan Africa Cup of Nations (AFCON) mereka menentang Zimbabwe, Jurulatih Mesir Javier Aguirre menjelaskan bahawa dia lebih memilih untuk memberi pujian buat semua pemainnya, berbanding hanya menjulang nama Mohamed Salah.
"Mohamed Salah adalah pemain dalam pasukan saya, sama seperti 22 orang pemain yang lain. Kesemua mereka adalah pemain Mesir," kata jurulatih berumur 60 tahun itu.
"Mencapai tahap ini adalah sangat penting, Salah adalah seperti pemain yang lain dan mempunyai peluang yang sama, tetapi dia juga adalah pemain yang istimewa. "
Anak buah Aguirre mendapatkan kemenangan dalam perlawanan persahabatan menentang Tanzania dan Guinea yang membantu persiapan mereka menjelang AFCON.
Mereka akan memulakan pemburuan kejuaraan AFCON mereka buat kali pertama sejak 2010 dengan menentang Zimbabwe pada 21 Jun ini, sebelum diikuti dengan perlawanan menentang DR Congo dan Uganda pada 26 dan 30 Jun.
Selepas tewas kepada Cameroon dalam perlawanan akhir AFCON 2017 di Gabon, jurulatih berpengalaman itu memahami tekanan yang dihadapi oleh pasukannya, melangkah masuk ke pertandingan itu, dan tidak memandang rendah setiap lawan mereka.
"Zimbabwe selayaknya berada dalam pertandingan ini, mereka pasukan yang kuat. Perlawanan pertama kami adalah sangat penting kerana ia adalah perlawanan pembukaan untuk pertandingan ini, yang mana akan memberi tekanan kepada kami.
"Bagaimanapun, kami akan bermain seperti biasa menentang Zimbabwe kerana kami sangat menghormati mereka. Kami bersedia dengan baik untuk perlawanan sukar ini, yang mana kami mesti memenanginya.
"Buat masa ini, kami hanya memikirkan mengenai perlawanan bertemu Zimbabwe.  Kesemua empat pasukan akan mencari kemenangan dalam setiap perlawanan untuk layak ke peringkat seterusnya," kata Aguirre.