'Tiada Seorang Pun Lupa Cara Coutinho Tinggalkan Liverpool, Jadi Jangan Begitu Mudah Membawanya Kembali Ke Anfield!' - John Aldridge




Pengurus Liverpool Jurgen Klopp telah diberitahu untuk tidak membuka jalan untuk Philippe Coutinho kembali ke Anfield musim panas ini.
Pengurus The Reds itu dikaitkan dengan percubaan untuk menandatangani semula Philippe Coutinho menurut Le10Sport.
Bintang Brazil itu hanya meninggalkan Liverpool pada 18 bulan yang lalu selepas sangat berminat untuk perpindahan ke Barcelona pada masa itu.
Selepas gagal menyempurnakan keinginannya berpindah ke kelab gergasi La Liga itu pada bulan Ogos, di mana dia malah membuat lakonan mengenai kecederaan belakang, Coutinho dilepaskan enam bulan kemudian dengan bayaran sebanyak £ 142 juta. 
Tetapi hanya selepas setahun setengah, Coutinho sudahpun dijangka bakal dijual oleh kelab tersebut.
Meskipun melalui tempoh enam bulan pertama yang mengagumkan di Kem Nou, Musim penuh pertama Coutinho adalah mengecewakan di mana dia bergelut untuk tampil cemerlang di posisi sayap kiri mahupun di bahagian tengah, walaupun dia berjaya menjaringkan 11 gol dan melakukan lima assist.
Pemain berusia 27 tahun itu dijangka bakal kembali ke Liga Perdana Inggeris atau menyertai Paris Saint-Germain jika dia benar-benar meninggalkan Barcelona musim panas ini.
Tetapi bekas penyerang The Reds John Aldridge tidak menyokong tindakan untuk membawa kembali Coutinho ke Anfield mengenangkan cara yang dilakukannya untuk meninggalkan kelab itu. Dia kembali ke Anfield pada awal Mei lalu untuk perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara di mana dia menerima pekikan 'boo' sepanjang perlawanan. Tiada jalan kembali meskipun dengan kualiti dan fakta menunjukkan dia pemain utama buat pasukan itu sebelum ini.
"Coutinho pergi meninggalkan luka yang dalam dengan dia memaksa untuk perpindahan keluar dan meskipun dia pemain yang hebat, saya tidak fikir Liverpool perlu mengeluarkan dana mereka untuk membawanya kembali," tulis Aldridge dalam Sunday World.
"Tiada seorang pun daripada kita melupakan yang Coutinho meninggalkan Liverpool pada situasi yang sukar di mana dia membuat perpindahan di pertengahan musim, jadi kita tidak perlu memberikan dia jalan yang mudah untuk kembali bermain untuk pasukan Juara Eropah ini.
"Kita semua percaya pada keputusan yang dibuat oleh Jurgen Klopp, tetapi saya fikir penambahan di bahagian serangan dengan kualiti yang terbaik adalah keutamaan pada musim panas ini."