Ejen Jorginho Tidak Menolak Kemungkinan Pemainnya Akan Mengikut Jejak Sarri Berpindah Ke Juventus!




Pengalaman Jorginho bermain bersama Napoli tidak akan menghalang dirinya dari mengikuti jejak Maurizio Sarri ke musuh seterunya di Serie A, Juventus, menurut ejen pemain tengah Chelsea itu.
Pengurus baru Juventus Sarri membawa masuk Jorginho ke Chelsea dari Napoli pada musim panas yang lalu dan dijangka akan sekali lagi menandatanganinya menjelang musim pertamanya bersama Juventus.
Pemain berusia 27 tahun itu membuat 54 penampilan dalam semua pertandingan yang menyaksikan Chelsea menjuarai Liga Europa musim 2018-2019, tetapi dia tidak begitu menyesuaikan diri dengan bola sepak Liga Perdana berikutan perpindahannya ke kelab Barat London itu.
Perkara itu menimbulkan khabar angin bahawa dia mungkin akan kembali ke Serie A selepas hanya 11 bulan berada di Stamford Bridge.
Dan wakil Jorginho Joao Santos berkata, meskipun pemain itu tidak begitu aktif untuk mencari perpindahan keluar dengan dia masih mempunyai kontrak bersama kelab sehingga tahun 2023, dia tidak menolak mengenai potensi perpindahan buat pemainnya
"Chelsea mempunyai empat tahun kontrak bersama pemain ini," kata Santos kepada Tuttomercatoweb.
"Kami akan menunggu dalam beberapa hari untuk mengenal pasti sama ada benar terdapat minat seperti yang diperkatakan dalam akhbar.
"Masa lalunya di Napoli tidak akan menjadi isu, kerana Jorginho adalah seorang pemain yang Profesional. Buat masa ini, Jorginho gembira berada di Chelsea.
"Dia menemui persekitaran yang hebat dan kita tidak boleh mengatakan dengan tepat bahawa dia  mahu pergi ke tempat lain, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam pasaran perpindahan. Kita perlu tunggu dan lihat."
Sarri menamatkan musim 2017-2018 di tempat kedua bersama Napoli di belakang juara bertahan Serie A, Juventus, sebelum dia menyertai Chelsea, di mana dia hanya melalui satu musim dengan memenangi Liga Europa dengan kemenangan ke atas Arsenal pada bulan lalu.
Santos menjangkakan pengurus baru Juventus itu, yang akan diumumkan secara rasmi Khamis ini, akan meningkatkan lagi kelab gergasi Itali itu dengan gaya permainan bola sepaknya.
"Sarri sudahpun menunjukkannya di Napoli dan Chelsea bahawa dia adalah jurulatih yang hebat," tambah Santos. "Dalam kelab seperti Juventus, yang sudahpun tersusun dengan sangat baik dalam beberapa tahun ini, dia akan membantu mereka terus meningkat dan terus memperoleh kemenangan.
"Saya telah melihat Sarri selama lima tahun dan gaya bola sepaknya sangat menarik. Juventus akan berubah, kerana sebelum ini mereka akan menang tanpa menunjukkan keyakinan. Kini mereka akan menang dan nampak berkeyakinan."