Ini Reaksi Aubameyang Selepas Perlu Berkongsi 'Golden Boot' Bersama Sadio Mane Dan Mohamed Salah!




Penyerang Arsenal, Pierre Emerick-Aubameyang adalah peminat besar kepada kedua-dua pemain yang dia berkongsi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris iaitu Mohamed Salah dan Sadio Mane dari Liverpool. 
Ketiga-tiga pemain itu menjaringkan 22 gol musim ini dalam saingan Liga dan hasilnya menyaksikan mereka berkongsi Kasut Emas, kali pertama sejak kali terakhir pada musim 1998-99 ketika Michael Owen, Dwight Yorke dan Jimmy-Floyd Hasselbaink menamatkan musim dengan jumlah gol yang sama. 
Memenangi anugerah itu buat kali pertama adalah sesuatu yang membanggakan buat Aubameyang dan berkongsi anugerah itu bukanlah satu masalah, terutamanya kerana dia berkongsi dengan bintang-bintang yang juga dari Afrika, Salah dan Mane. 
Aubameyang dari Gabon, Mane dari Senegal dan Salah dari Mesir adalah tiga bintang terbesar dalam Liga Perdana Inggeris, dan penyerang Arsenal itu akui gembira kerana mereka semua mewakili benua mereka dengan negara yang berbeza.
"Ianya sangat bermakna untuk memenangi Golden Boot," kata Aubameyang kepada laman web rasmi Arsenal. 
"Saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian ini, terutamanya untuk berkongsi trofi itu bersama dengan Sadio Mane dan Mohamed Salah. 
"Saya sangat sukakan kedua-dua pemain ini. Kami mewakili Afrika jadi ia adalah satu petanda yang baik untuk benua itu. Afrika berada di dalam hati dan di dalam fikiran saya, jadi saya sangat bangga mewakilinya dalam Liga Perdana Inggeris. 
"Orang-orang di Afrika benar-benar sukakan bola sepak, seperti semua orang di seluruh dunia, hal itu menjadikan saya sangat bangga untuk mewakili Afrika dengan cara yang luar biasa kerana tidak semua orang mendapat peluang untuk bermain dengan menyarung jersi Arsenal."
Selepas melalui musim yang mengagumkan sebagai penyerang untuk The Gunners, Aubameyang bersedia untuk ditawarkan kontrak baru, sama seperti rakan sepasukannya Alexandre Lacazette. 
Penyerang Gabon itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke China, sementara Lacazette telah dikaitkan sebagai sasaran Barcelona. 
Arsenal berhasrat untuk menolak sebarang minat terhadap dua penyerang terbaik mereka dengan memperpanjangkan kontrak mereka berdua di kelab itu.