"Larangan Perpindahan Terhadap Chelsea, Peluang Keemasan Buat Saya" - Tammy Abraham




Tammy Abraham mengatakan hukuman larangan perpindahan yang dikenakan ke atas Chelsea merupakan peluang keemasan buat para pemain akademi dan melihat musim depan sebagai peluang terbaiknya untuk memecah masuk ke dalam pasukan utama.
Penyerang England bawah 21 tahun itu dijangka akan bermula untuk pasukan bimbingan Aidy Boothroyd menentang Croatia pada hari Isnin. Dia kemudian hanya akan mengambil rehat seketika sebelum memulakan latihan pramusim bersama Chelsea dalam usaha untuk menarik perhatian Frank Lampard atau mana-mana pengurus lain yang akan menggantikan Maurizio Sarri.
Abraham telah menghabiskan tiga musim sebelum ini secara pinjaman, bermain untuk Bristol City, Swansea City, dan Aston Villa, dan hanya membuat dua penampilan bersama The Blues. Tetapi dengan Chelsea bakal menghadapi hukuman larangan perpindahan untuk dua jendela perpindahan akan datang, pemain berusia 21 tahun itu mengatakan perkara itu akan memberikan kebaikan buat dirinya. 
"Tahun ini adalah tahun yang penting buat kami. Ianya adalah tentang sekarang atau tidak sama sekali,"kata penyerang yang menjaringkan 25 gol untuk Villa musim lepas. "Tiada masa yang lebih baik untuk memainkan pemain muda. Sudah tentu larangan perpindahan bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh kelab tetapi bagi kami ia adalah menarik. Saya sangat teruja dan saya pasti begitu juga dengan pemain yang lain. 
"Ia adalah peluang terbaik untuk kami pemain muda jadi kami perlu bertungkus lumus dalam latihan dan melakukannya untuk Chelsea. Saya sudahpun bercakap bersama kelab mengenai pramusim. Saya akan mempunyai rehat beberapa minggu sebelum kembali berlatih. Tiada lagi masa terbaik untuk pemain muda berada di Chelsea. Saya akan memberikan segalanya. Dengan pengurus baru akan datang jadi tiada masa yang lebih baik untuk menunjukkan apa yang saya mampu lakukan pada pramusim ini. Saya begitu teruja apabila bercakap mengenai musim depan."
Chelsea telahpun kehilangan pemain terbaik mereka Eden Hazard yang menyertai Real Madrid. Mereka masih menunggu impak yang akan dibawa oleh pemain baru mereka, Christian Pulisic, yang dibeli dari Dortmund pada bulan Januari yang lalu. Dengan hanya ada Olivier Giroud sebagai penyerang Chelsea, Abraham akan dilihat akan diberi peluang selepas tampil cemerlang untuk Aston Villa sekaligus membawa kelab itu kembali ke Liga Perdana Inggeris.