Rio Ferdinand Mengkritik Jorginho Dan Nasihatkan Sarri Untuk Mengembalikan Kante Dan Hazard Ke Posisi Terbaik Mereka!




Rio Ferdinand mengkritik pemain tengah Chelsea, Jorginho atas persembahannya yang buruk dalam kekalahan menentang Arsenal pada hari Sabtu.
Gol di babak pertama oleh Alexander Lacazette dan Laurent Koscielny cukup menyaksikan The Gunners menang 2-0 menentang The Blues dan sekaligus merapatkan jurang mata kepada tiga di kedudukan keempat liga.
Ia adalah satu lagi persembahan yang merisaukan dari The Blues dan Ferdinand secara khusus mengkritik persembahan Jorginho yang ditandatangani oleh Maurizio Sarri dari Napoli musim panas yang lalu.
Legenda Manchester United itu mengatakan bahawa Jorginho 'tidak boleh berlari' dan sepatutnya digantikan dengan N'Golo Kante, yang kini lebih digunakan di posisi yang lebih ke hadapan berbanding sebelum ini.
Ferdinand juga mengatakan bahawa Eden Hazard, yang bermain di posisi 'False Nine', hanya disia-siakan dalam sistem permainan mereka sekarang.
Dia berkata kepada BT Sport: "Jorginho adalah pemain yang menetapkan tempo dalam permainan. Anda mendapatkan bola menerusi dia di kawasan tengah, dan dia sangat baik.
"Tetapi berapa bantuan gol yang telah dia hasilkan musim ini? Sekitar 2000 hantaran, tiada sebarang bantuan gol.
"Dia bukan seorang pertahanan yang baik. Apabila permainan menjadi seperti ini menentang pasukan besar, dia tidak berjaya menguasai di bahagian tengah.
"Dia tidak boleh berlari. Jadi dia tidak menyumbangkan apa-apa secara defensif, dan dia juga tidak membantu dalam serangan.
"Masalah utama Chelsea adalah mereka tidak mempunyai pemain di posisi no.9. Tiada titik tengah. Saya fikir pengurus perlu memainkan Kante di posisi tengah bertahan. Dia adalah antara yang terbaik di posisi itu.
"Hazard mampu bermain sebagai 'False Nine' tetapi dia tidak dapat memberikan anda banyak. Dua daripada pemain terbaik mereka bermain di posisi yang tidak sesuai.
Jermain Jenas menyokong pendapat Ferdinand dan berkata : " Hazard secara keseluruhannya hilang. Terdapat terlalu banyak kesilapan mudah dari Chelsea.
"Saya tidak melihat sebarang arah dan keinginan. Apa perancangannya? Mereka mempunyai pemain yang luar biasa tetapi ianya tidak mendatangkan apa-apa."