Louis Van Gaal Mahu Liverpool Juarai Liga Perdana Inggeris Berbanding Manchester City!




Bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal telah memberi sokongan penuh buat Liverpool untuk mengalahkan Man City dalam perebutan Kejuaraan Liga Perdana. 
Juara bertahan City mendapati diri mereka ketinggalan empat mata di belakang The Reds selepas 21 perlawanan bagi musim 2018-19. 
Jurang tersebut di awalnya adalah tujuh mata sebelum City mengalahkan Liverpool 2-1 di Etihad pada petang Khamis.
"Klopp telah menjadikan Liverpool sebagai mesin pertempuran yang luar biasa  - sama ada menyerang mahupun bertahan," kata Van Gaal, yang menghabiskan dua musim di Old Trafford, kepada Daily Mirror. 
"Jadi, jika saya meletakkan wang saya di satu kelab untuk saingan liga, ianya adalah Liverpool. 
"Pasukan Liverpool tidak memiliki kualiti tertinggi apabila melihat kepada pemain yang mereka miliki. Sebaliknya, pemain berkualiti tinggi berada di City.
"Tetapi, pada masa yang sama, itu adalah kelemahan Guardiola. Dia hanya melatih pasukannya dalam cara menyerang. Sentiasa. 
"Pada masa pasukannya terpaksa bertahan, mereka kelihatan sangat teruk. Liverpool mempunyai pasukan yang boleh bertahan dengan lebih baik. 
"Itu kerana Klopp telah melatih mereka untuk menjadi pasukan tempur, sama ada mereka mempunyai bola atau tidak. Itulah apa yang kurang dalam pasukan Guardiola sekarang."
Van Gaal, 67, menambah: "City mempunyai idea bola sepak yang hebat dan cara bermain yang menyerlah - tetapi bukan pada semangat pertempuran yang betul. 
"Jangan salah anggap, saya masih suka menonton cara City bermain. Tetapi cara Klopp menjadikan Liverpool bermain dengan sangat hebat. "
Pasukan pendahulu Liga Perdana Liverpool akan menghadapi Wolves pada pusingan ketiga Piala FA pada hari Isnin ini, sementara City menentang Rotherham sehari sebelumnya.