Jose Mourinho Menjelaskan Bagaimana Arsenal Berjaya 'Mematikan' Permainan 'Sarri-Ball' Dan Menewaskan Chelsea!




Jose Mourinho memberi pujian terhadap pasukan Arsenal yang berjaya menghalang 'build-up play' dari Chelsea dalam kemenangan penting mereka 2-0 di Stadium Emirates pada hari Sabtu.
Gol menerusi Alexander Lacazette dan Laurent Koscielny berjaya memberikan Arsenal tiga mata berharga untuk mengekalkan saingan mereka merebut kelompok empat teratas liga menentang musuh tradisi mereka.
Maurizio Sarri dengan jelas mengkritik para pemainnya selepas perlawanan itu, dengan terbuka mempersoalkan motivasi dan mentaliti pasukannya menerusi temubual selepas perlawanan itu tamat.
Tetapi Mourinho mengatakan bahawa Arsenal berjaya menewaskan Chelsea dengan menghentikan Jorginho di bahagian tengah termasuk memutuskan hantaran bola menerusi sayap sebelah kiri.
Bercakap kepada beIN Sports, dia berkata : "Saya tidak mengatakan bahawa Chelsea adalah pasukan yang mudah untuk dilawan tetapi saya fikir mereka adalah pasukan yang mudah untuk dianalisis, anda tahu prinsip permainan mereka, dan situasi asas mereka.
"Anda mencipta kesukaran pada Chelsea untuk membina permainan di babak pertama dan jika anda menutup lebih sedikit ruang di sebelah kiri dengan Marcos Alonso dan David Luiz dan anda memainkan bola ke arah sebelah kanan padang, ia akan mengundang masalah buat mereka."
Taktikal Sarri telah dipersoalkan sejak ketibaannya ke Liga Perdana Inggeris dengan Rio Ferdinand mengkritik pengurus Itali itu kerana memainkan N'Golo Kante dan Eden Hazard tidak di posisi terbaik mereka. 
Bagaimanapun, Mourinho berpihak kepada Sarri dengan mengatakan dia berfikir yang Kante mampu bermain di mana-mana sahaja dan mendakwa kawalan Aaron Ramsey terhadap Jorginho adalah punca utama kekalahan Chelsea.
"Kante kini bermain di posisi di mana dia melakukan lebih banyak larian ke bahagian serangan berbanding hanya kekal membantu membina permainan dari bahagian tengah dan Arsenal berjaya menekan mereka di kawasan sendiri dan mencpta lebih banyak masalah," katanya.
"Saya fikir Kante mampu bermain di mana-mana posisi, saya fikir dia mempunyai kualiti untuk menjadi pemain 'box-to-box' seperti yang cuba dilakukan oleh Maurizio dan dia telah menjaringkan lebih banyak gol berbanding sebelum ini.
"Di bawah Antonio Conte dia bermain lebih kepada pemain tengah pertahanan kerana mereka hanya bermain dengan dua orang pemain di bahagian tengah dan kini mereka bermain dengan tiga orang pemain dan Maurizio cuba lakukan hal yang sama buat Jorginho ketika di Napoli.
"Dia lebih suka dia untuk turun ke bawah di antara kedua pertahanan tengah tetapi hari ini Ramsey bermain di posisi itu untuk menghentikan Jorginho dari memainkan permainan mereka."
Berikutan permulaan yang cemerlang musim ini, Chelsea kini melalui kesukaran dengan beberapa keputusan yang kurang baik dan persembahan yang membahayakan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-juara musim hadapan.
Persembahan Jorginho di bahagian tengah Chelsea telah menjadi tumpuan dengan peminat Chelsea melaungkan 'boo' terhadap pemain tersebut dalam kemenangan 2-1 menentang Newcastle minggu lalu.
Sejak permulaan Disember, Chelsea telahpun ditewaskan oleh Wolves, Leicester City dan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan juga kekalahan menentang Spurs dalam aksi Piala Carabao.