"Melihat Kedudukan Liverpool, Jika Kami Hilang Mata, Ianya Sudah Berakhir" - Pep Guardiola Mengenai Peluang Pertahan Kejuaraan Liga!




Pep Guardiola mengatakan peluang Manchester City mempertahankan kejuaraan liga musim ini akan berakhir jika mereka tidak mengalahkan Southampton sebelum menuju ke perlawanan penting Jumaat ini menentang Liverpool.
City menang 3-1 ke atas Southampton hasil jaringan David Silva, gol sendiri dari James Ward Prowse dan Sergio Aguero, untuk membantu City merapatkan jurang mata kepada tujuh dengan Liverpool dan berjaya memperbaiki prestasi mereka selepas melalui tiga kekalahan daripada empat perlawanan liga.
Guardiola melabelkan Liverpool sebagai 'Pasukan Terbaik di Eropah' ketika ini dan berada di kalangan 'Empat Pasukan Terbaik Di Dunia'. Aksi panas pada Jumaat ini telahpun ditentukan.
"Melihat kepada kedudukan Liverpool, jika kami kehilangan mata, ianya tamat dan sudah berakhir - ianya hampir mustahil," kata Guardiola. "Sudah tentu, kami berfikir yang mereka akan keciciran mata tetapi tidak begitu banyak. Dan jika kami mahu berada di sana sejauh yang mungkin di akhir nanti, kami perlu memenangi perlawanan.
"Malangnya kami tewas dalam dua perlawanan sebelum ini (menentang Palace dan Leicester) dan kami mempunyai musuh yang pada ketika ini adalah pasukan terbaik di Eropah atau di antara empat pasukan terbaik di dunia dan ia adalah Liverpool. Itulah sebabnya Jumaat ini adalah satu cabaran dan kami akan cuba untuk menang. Jika kami mampu mengekalkan kedudukan kami selama yang mungkin, kami akan tiba di penghujung musim mencabar kejuaraan Liga.
"Kami di sini bukan untuk memberi amaran buat Liverpool. Liverpool tahu apa yang perlu mereka lakukan dan kami tahu apa yang kami perlu lakukan. Ianya tempat pertama menentang tempat kedua jumaat ini. Saya tahu jurangnya sangat besar -tujuh mata- terutama sekali kerana mereka sangat kukuh dan konsisten. Tetapi ia adalah perlawanan di tempat sendiri dan harapnya bantuan tambahan dari para penyokong di Etihad akan tiba."