Risau Tugas Berat Yang Menantinya Di Stamford Bridge, Ini Jaminan Yang Diberikan Roman Abramovich Untuk Frank Lampard!




Chelsea akan memberi jaminan kepada Frank Lampard bahawa dia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu musim untuk membuktikan dirinya di Stamford Bridge memandangkan keadaan 'unik' kelab itu menghadapi pasaran perpindahan. 
The Blues sedang menjalani larangan dua jendela perpindahan dan Lampard tidak akan dapat membuat pembeliannya sendiri jika, seperti yang dijangkakan, dia mengambil alih tugas di Stamford Bridge. 
Derby mengesahkan pada hari Selasa bahawa mereka telah memberikan kebenaran kepada Chelsea untuk berbincang dengan Lampard dan pengurus berusia 41 tahun itu difahamkan berminat untuk kembali kepada bekas kelabnya. 
Bagaimanapun, setelah kehilangan Eden Hazard, Lampard bimbang akan tugas yang bakal dihadapinya di Stamford Bridge dan berharap untuk tidak mencemarkan reputasinya bersama para peminat.
Tetapi The Telegraph mendakwa Lampard diberitahu bahawa dia akan diberikan masa dan bertugas sekurang-kurangnya untuk satu musim penuh, selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun. 
Chelsea berpuas hati untuk membayar ganti rugi sebanyak £ 4 juta kepada Derby untuk dapatkan Lampard memandangkan mereka menerima £ 5 juta daripada pelantikan Maurizio Sarri sebagai pengurus Juventus. 
Jody Morris mungkin akan menyertai Lampard sebagai penolong jurulatih sebaik sahaja dia membuat perpindahan itu tetapi masih perlu dilihat sama ada Gianfranco Zola akan terus kekal ataupun tidak. 
Bekas pemain Itali itu berkhidmat di bawah Sarri tetapi peranannya akan dikurangkan memandangkan kehadiran Morris.
Sementara itu, The Blues mempunyai enam hari lagi untuk memutuskan sama ada untuk mengekalkan Mateo Kovacic. 
Walaupun larangan perpindahan dikenakan terhadap Chelsea, pemain tengah Croatia itu sudahpun didaftarkan sebagai pemain Chelsea dan kelab itu boleh membuat perpindahan secara tetap jika mereka mahukannya.