Dua Gol Dari Eden Hazard Pecahkan Rekod Gol Cristiano Ronaldo Di Manchester United!




Kejayaan cemerlang Eden Hazard memastikan kemenangan 2-0 buat Chelsea ke atas West Ham pada malam Isnin. 
Anak buah Maurizio Sarri nampak dominan sepanjang perlawanan, namun ia memerlukan paparan bertaraf dunia dan gol hasil gerakan solo dari Hazard untuk membuat perbezaan dalam perlawanan itu. 
Mengambil bola di pertengahan padang West Ham, Hazard menewaskan empat pemain sebelum melepasi hadangan terakhir seterusnya melepaskan rembatan menewaskan Lukasz Fabianski. 
Hazard, yang telah menyinar sepanjang perlawanan dan memberi ancaman yang berterusan kepada pertahanan West Ham, tidak diberikan sepakan penalti yang jelas sebelum rehat separuh masa selepas dia dijatuhkan oleh Marko Arnautovic. 
Tetapi gol bintang Belgium itu adalah yang ke-84 buat dirinya dalam saingan Liga Perdana Inggeris untuk meletakkan dia setaraf dengan gol Cristiano Ronaldo ketika masanya berakhir di Manchester United.
Dan Hazard mengatasi rekod Ronaldo dan mempamerkan prestasi terbaiknya dengan gol di penghujung perlawanan untuk memastikan kemenangan 2-0 berpihak kepada Chelsea. 
Sarri terus meletakkan kepercayaannya kepada Ruben Loftus-Cheek dan Callum Hudson-Odoi apabila kedua-duanya memulakan perlawanan di Stamford Bridge.
Tetapi keputusan Sarri untuk menggantikan Loftus-Cheek dengan Ross Barkley dengan perlawanan berbaki lagi 20 minit disambut dengan teriakan 'boo' dan kemarahan penyokong Chelsea.
Kemenangan ke atas The Hammers membawa Chelsea ke tangga ketiga di Liga Perdana Inggeris, walaupun Tottenham, Arsenal dan Manchester United kesemuanya masih kurang satu perlawanan untuk dimainkan.