Unai Emery Bakal Lepaskan Mohamed Elneny Untuk Dapatkan Pengganti Aaron Ramsey!




Arsenal merancang untuk mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £ 17.8 juta untuk pemain tengah Villarreal, Pablo Fornals dan akan membiayai perpindahan itu dengan menjual Mohamed Elneny. 
Fornals, 22, telah mempamerkan aksi cemerlang di La Liga setakat musim ini walaupun kesukaran yang dialami oleh Villarreal - yang berada di zon penyingkiran. 
Pemain tengah itu sudahpun mewakili Sepanyol sebanyak dua kali dan Arsenal bersedia untuk memenuhi klausa pelepasan sebanyak £ 17.8 juta dalam kontraknya. 
Bagaimanapun, Sun mendakwa bahawa The Gunners akan melepaskan Elneny untuk menanggung kos perpindahan itu dan berharap dapat menjualnya dengan harga £ 15 juta.
Bintang Mesir itu tidak menjadi pilihan di bawah Unai Emery dan belum pernah lagi diturunkan dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat musim ini. 
Arsenal menarik balik tawaran kontrak baru kepada Aaron Ramsey pada bulan lepas dan boleh menjual pemain Wales itu pada bulan Januari untuk mengelakkan kehilangannya secara percuma pada musim panas akan datang. 
Fornals dilihat sebagai pengganti yang sesuai untuk Ramsey, yang masih tidak faham akan keputusan kelab untuk membiarkannya pergi.