Taktikal Jose Mourinho Bergantung Sepenuhnya Pada 'Set-Piece' - Cristiano Ronaldo




Cristiano Ronaldo menyindir pasukan Manchester United selepas The Red Devils membuat comeback untuk menewaskan kelab gergasi Itali itu.
Selepas Ronaldo membawa Juventus mendahului dengan jaringan yang menarik, United kembali dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan untuk mencuri 3 mata di tempat lawan.
Gol sendiri dari Alex Sandro memastikan kemenangan mengejut untuk United di Turin, dan Ronaldo kecewa melihat pasukannya tewas setelah mendominasi perlawanan.
Juventus bermain dengan baik dari wisel pertama dibunyikan, mencipta beberapa peluang terbaik dan Ronaldo berfikir taktikal Jose Mourinho bergantung sepenuhnya pada set-piece. 
"Saya gembira dengan jaringan gol tetapi agak kecewa kerana kita sepatutnya memenangi perlawanan ini dengan mudah, dengan tiga atau empat gol," kata Ronaldo. 
"Manchester tidak melakukan banyak, pada pendapat saya. Mereka membuat dua peluang menerusi set-pieces. Pasukan Inggeris selalunya akan mencari set-piece.
"Tetapi kami belajar dari kesilapan dan kami masih berada di puncak kumpulan, jadi kami masih baik."
Juan Mata menjaringn gol pertama United menerusi sepakan percuma, sebelum hantaran Ashley Young dari satu lagi sepakan percuma terus menerjah jaring Juventus selepas terkena Alex Sandro . 
Ronaldo menjaringkan gol cantik untuk gol pertama penyerang tersebut di Liga Juara-Juara sebagai pemain Juventus.
Bekas Pemain The Red Devil itu merayakan golnya dengan mengangkat jersi dan mempamerkan abs, tetapi sebaliknya bekas pasukannya itu yang berjaya membawa pulang tiga mata. 
Keputusan tersebut telah mengurangkan jurang di antara Juventus dan United dalam Kumpulan H dengan perbezaan dua mata, dan The Red Devils masih boleh mengatasi kedudukan tersebut jika mereka memenangi dua perlawanan terakhir mereka dan kelab gergasi Itali itu kehilangan mata di dua perlawanan terakhir mereka.