Krzysztof Piatek Mahukan Perpindahan Ke Kelab Besar Dan Impikan Bermain Di Liga Juara-juara!




Krzysztof Piatek berharap prestasi cemerlangnya bersama Genoa akan cukup untuk mendapatkan perpindahan besar dalam beberapa bulan akan datang. 
Penyerang Genoa itu telah berjaya menjaringkan 13 gol dalam 13 penampilan dan telah menjadi watak penting sejak ditandatangani musim panas yang lalu oleh kelab Itali itu. 
Chelsea adalah antara kelab yang dilaporkan memerhatikan situasi Piatek, dengan Juventus, Roma, Bayern Munich, Barcelona dan Borussia Dortmund juga turut dikatakan berminat.
Genoa menjangkakan akan menerima banyak tawaran untuk Piatek pada Januari ini dan penyerang itu kini telah menerangkan tentang hasratnya dengan jelas. 
"Impian mereka yang datang ke Genoa adalah mereka akan menggunakannya sebagai batu loncatan ke arah kelab yang lebih besar," kata Piatek kepada Corriere della Sera. 
"Jika saya terus dengan prestasi ini, saya pasti boleh menandatangani kontrak bersama kelab yang besar. Objektif saya adalah untuk bermain di Liga Juara-Juara."
Maurizio Sarri difahamkan ingin membawa Piatek ke Stamford Bridge, tetapi Chelsea perlu memenuhi nilai perpindahan sebanyak £ 40 juta yang diminta oleh Genoa.
Pemain berusia 23 tahun itu mempunyai kontrak bersama Genoa sehingga tahun 2022, tetapi kelab Itali itu mungkin mahu menjual Piatek dengan nilai yang tinggi selagi mereka mampu. 
Prestasi Piatek telah turun sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan penyerang itu kini mengalami kemarau jaringan dalam lima perlawanan baru-baru ini.
Chelsea dijangka akan menandatangani sekurang-kurangnya satu penyerang pada bulan Januari ini, kerana Sarri masih mempunyai keraguan terhadap Alvaro Morata. 
The Blues masih dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana, dan masih belum mengalami sebarang kekalahan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini. 
Sarri mahu terus memberi tekanan kepada Manchester City dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan liga, dengan hanya empat mata memisahkan Chelsea dengan pasukan di tangga teratas.