Daniel Sturridge Bakal Diberikan Kontrak Baru Berikutan Penampilan Cemerlang Musim Ini!




Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge bersedia untuk memperpanjangkan tempohnya di Anfield dengan menandatangani kontrak jangka panjang yang baru, menurut laporan. 
Perjanjian sedia ada pemain berusia 29 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini tetapi Jurgen Klopp kini mahu kelab itu menawarkan kontrak baru berikutan permulaan yang cemerlang musim ini.
Sturridge menjaringkan empat gol dalam sembilan penampilan setakat ini, termasuk dua gol dalam masa seminggu menentang Chelsea, memaksa pengurus Jurgen Klopp meletakkan dia dalam perancangan pasukan.
Menurut The Sun, Liverpool akan menawarkan penyerang itu kontrak baru bernilai £ 140,000 dengan persetujuan itu akan distrukturkan semula mengikut penampilannya berikutan masalah kecederaan yang kerap dialaminya beberapa musim kebelakangan ini.
Pemain itu sendiri telah mengesahkan hasratnya untuk kekal di Liverpool sekurang-kurangnya sehingga akhir musim ini di tengah-tengah laporan mengatakan yang dia akan meninggalkan kelab tersebut pada bulan Januari. 
Beliau memberitahu laman web rasmi kelab itu: "Saya sentiasa cuba untuk mendorong diri saya ke peringkat seterusnya dan menyumbang sebaik mungkin kepada pasukan untuk membolehkan kami berjaya. 
"Ia penting untuk terus fokus sepanjang musim ini dan berharap ada sesuatu yang akan menggembirakan pada akhirnya." 
Sturridge akan berada dalam senarai untuk bermain ketika menentang Huddersfield pada minggu ini berikutan kecederaan kepada Sadio Mane.