Kata-kata Mane Untuk Firmino : "Anda Jaringkan Gol Tanpa Melihat, Jadi Anda Tidak Perlukan Mata Untuk Bermain!"




Sadio Mane mendedahkan bahawa dia ada menghantar mesej kepada Firmino sebelum perlawanan menentang Paris Saint-Germain dengan memberi galakan untuk penyerang itu turun bermain.
Penyerang itu terlepas sesi latihan pada hari Isnin akibat kecederaan mata yang dialaminya ketika menentang Tottenham Hotspur.
Jan Vertonghen secara tidak sengaja tercucuk mata Firmino dengan teruk, namun tiada sebarang kecederaan yang serius dilaporkan selepas pemeriksaan dibuat, dia menerima rawatan yang sepatutnya di Hospital dan disenaraikan di bangku simpanan untuk perlawanan menentang PSG.
Pasukan gergasi Perancis itu seakan-akan berjaya mencuri satu mata di Anfield selepas berjaya kembali menyamakan kedudukan meskipun terlebih dahulu ketinggalan 2-0, dan Firmino yang dimasukkan sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan buat Liverpool di masa kecederaan.
"Saya fikir Bobby tidak memerlukan matanya untuk bermain saya memberitahu dia," kata Mane.
"Saya menghantar mesej kepada dia dengan mengatakan: 'Hey Bobby, tolonglah, kami perlukan anda. Kamu selalu menjaringkan gol 'tanpa melihat' .' Jadi saya fikir dia tidak perlukan matanya untuk bermain.
"Saya menghantar pesanan kepada dia, 'Anda tidak perlukan mata anda!'."
Liverpool masih kekal tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana dan bermula dengan cemerlang untuk aksi peringkat kumpulan saingan Liga Juara-juara musim ini.
Dua jaringan di separuh masa pertama menentang PSG dijaringkan oleh Daniel Sturridge yang melakukan tandukan hasil hantaran cantik Robertson sebelum Milner menyempurnakan sepakan penalti selepas Wijnaldum dijatuhkan.
Thomas Meunier kembali menghidupkan peluang buat PSG sebelum Kylian Mbappe menyamakan kedudukan yang memberikan harapan buat PSG sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Tetapi Firmino menamatkan ketegangan itu dengan gerakan solo menewaskan pertahanan sebelum membuat rembatan menarik ke arah gol di masa kecederaan dan Mane tampil memuji persembahan Liverpool.
"Secara jujur, saya fikir ini adalah keputusan yang besar. Ianya sangat penting untuk kami teruskan prestasi cemerlang ini," tambah Mane.
"Ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana PSG adalah antara pasukan terbaik di dunia tetapi kami bermain dengan sangat baik dan selayaknya untuk menang.
"Saya fikir ia adalah berkaitan dengan keinginan dan kepercayaan, itulah yang kami cuba tunjukkan. Kami mempunyai kualiti dalam pasukan ini dan pasukan secara mentalnya bebas untuk bergerak ke hadapan dan berkeyakinan sehingga ke penghujungnya.
"Itulah apa yang kami cuba lakukan dan akhirnya kami menjaringkan gol ketiga, yang mana ianya penting untuk pasukan."