Jawapan Fekir Selepas Disoal Apa Yang Mahu Dia Buktikan Selepas Tampil Cemerlang Di Etihad!




Nabil Fekir menunjukkan kepada Liverpool apa yang mereka terlepas selepas dia menjadi hero mengejutkan Manchester City di Etihad dalam perlawanan peringkat kumpulan saingan Liga Juara-juara musim ini.
Bintang Perancis itu hampir melengkapkan perpindahannya ke Anfield pada musim panas baru-baru ini sebelum proses itu terbatal selepas kelab itu berasa risau melihat kepada sejarah kecederaan dan masalah pemeriksaan kecergasan pemain tersebut.
Liverpool dijangka berusaha untuk meneruskan proses tersebut sepanjang jendela perpindahan namun akhirnya pemain tersebut tetap kekal bersama pasukan Lyon.
Dan kapten Lyon itu menjadi contoh terbaik di Etihad kepada pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan tersebut.
Fekir membantu mendapatkan semula bola sebelum berlari melepasi barisan pertahanan City dan melepaskan rembatan menembusi Ederson.
Sebaik sahaja perlawanan itu tamat, Fekir ditanya adakah dia mahu menunjukkan sesuatu selepas gagal melengkapkan perpindahannya ke Anfield.
"Saya mahu membuktikan yang saya adalah pemain yang bagus tetapi apa yang lebih penting adalah pasukan," kata Fekir.
"Kami sangat gembira untuk memenangi perlawanan di sini. Ia bukan satu perlawanan yang mudah dan City adalah sebuah pasukan yang hebat."
Maxwell Cornet menjaringkan gol pendahuluan sebelum Fekir menjaringkan gol kedua meskipun Manchester City cuba bangkit melalui jaringan Benardo Silva tetapi gagal menghalang Lyon mencuri tiga mata penuh di Etihad.