Deja Vu Buat Thomas Tuchel...Roberto Firmino, Hero Untuk Kemenangan Pertama Liverpool Dalam Liga Juara-Juara Musim Ini!




Liverpool memulakan kempen Liga Juara-juara musim ini dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan kelab gergasi dari Liga Perancis, Paris Saint-Germain.
Liverpool yang bermula tanpa kelibat penyerang utama mereka Roberto Firmino akibat kecederaan mata (berada di bangku simpana) digantikan dengan Daniel Sturridge yang berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan hasil hantaran cantik dari Andy Robertson di minit ke-30.
Liverpool terus menggandakan serangan dan berhasil mendapatkan sepakan penalti selepas Juan Bernat menjatuhkan Wijnaldum. Sepakan tersebut disempurnakan dengan baik oleh James Milner pada minit ke-36.
PSG yang turun dengan kelibat-kelibat bintang besar mereka seperti Neymar, Mbappe, Cavani, Di Maria tidak benar-benar menguji pertahanan Liverpool setakat 40 minit pertama perlawanan. Tetapi kesilapan dari Robertson yang tidak mengeluarkan bola dengan kemas berjaya dirembat masuk oleh Thomas Meunier menjadikan kedudukan 2-1 hingga ke rehat separuh masa.
Di babak kedua, pasukan Liverpool dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan peluang yang begitu banyak namun gagal disempurnakan oleh bahagian serangan mereka terutama Sturridge yang sepatutnya mampu membawa Liverpool dihadapan dengan lebih selesa.
Jaringan dari Salah menimbulkan kontroversi selepas pengadil membatalkan jaringan tersebut dengan alasan berlaku kekasaran terhadap penjaga gol PSG, Areola.
Pada minit ke-72, Liverpool memasukkan Roberto Firmino untuk menggantikan Sturridge menggabungkan kembali trio terbaik Liverpool dalam pasukan. 
PSG juga membawa masuk Draxler dan juga Choupo-Moting menggantikan Cavani dan juga Di Maria untuk menggiatkan serangan dan ternyata pertukaran itu berhasil selepas Mbappe berjaya menjaringkan gol penyamaan di minit ke-83 selepas kesilapan dilakukan oleh Mohamed Salah.
Jurgen Klopp bertindak pantas mengeluarkan bintang Mesir itu dan menggantikan dia dengan Shaqiri.
Situasi terus tegang buat pasukan Liverpool yang hampir-hampir melepaskan gol ketiga buat pasukan pelawat melalui serangan balas namun Virgil Van Dijk berjaya mengawal keadaan dengan baik.
Roberto Firmino yang dimasukkan sebagai pemain gantian akhirnya menjadi hero pasukan The Reds selepas menjaringkan gol kemenangan di masa kecederaan melalui rembatan yang cantik dan diikuti dengan gaya meraikan gol 'menutup mata sebelah' yang begitu menggembirakan para peminat di Anfield.
Wisel penamat dibunyikan dengan Liverpool mendapatkan tiga mata penting di Anfield menewaskan PSG 3-2 dan sekaligus mendahului kumpulan C.
Bagi pasukan bimbingan Thomas Tuchel, ini merupakan kekalahan pertama mereka musim ini manakala Liverpool meneruskan rekod kemenangan mereka yang keenam.
Ketika Tuchel membimbing Borussia Dortmund, situasi yang sama berlaku apabila Lovren menjaringkan gol kemenangan buat Liverpool di Anfield menewaskan anak buah Tuchel di masa tambahan.
Liverpool seterusnya membuat persediaan pasukannya untuk melayan kunjungan Southampton pada hujung minggu ini. PSG pula akan bertemu dengan Rennes untuk perlawanan Ligue 1 Perancis.