Sadio Mane Berharap Dapat Tewaskan Manchester United Meskipun Ia Hanyalah Perlawanan Pramusim!




Pemain sayap Liverpool, Sadio Mane sangat berharap mereka dapat menewaskan Manchester United dalam perlawanan pramusim pada hari ahad nanti.
Dua pasukan tersebut akan bertembung dalam pertandingan International Champion Cup yang akan diadakan di Stadium Michigan.
Dan Mane menegaskan bahawa dalam konteks apa pun perlawanan bertemu United, Liverpool sentiasa berazam untuk mendahului mereka.
"Jika anda mahu jadi yang terbaik, anda perlu mengalahkan yang terbaik," jelasnya.
"Manchester United adalah salah satu pasukan yang terbaik dan kami sangat tidak sabar menantikan perlawanan ini.
"Persahabatan, pertandingan, perlawanan liga, bagi saya perlawanan itu akan sentiasa penting dan kami akan cuba untuk menang."
Liverpool baru-baru ini turut beraksi untuk pertandingan yang sama awal pagi tadi dengan berjaya menewaskan pasukan juara liga musim lepas Manchester City.
Mane menjaringkan gol penalti di minit-minit akhir perlawanan untuk memberikan kemenangan buat Liverpool dengan Salah turut tersenarai sebagai penjaring.
Dan Klopp ternyata gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh bintang Mesir itu, dengan menegaskan bahawa dia sudah pun pulih dari kecederaan bahu yang dialami dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.
"Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, ia bukanlah disebabkan dia mempunyai masalah,"Klopp menjelaskan. "Dia tidak mengalami sebarang masalah.
"Dia hanya perlu untuk menyesuaikan diri dengan segala perkara yang berbeza. Kami berusaha dengan gigih untuk mengatasi masalah bahu itu untuk menguatkan ototnya dan semua perkara lain lagi.
"Kebiasaannya anda tidak merasa apa-apa untuk bahu anda, tetapi dalam proses pemulihan anda akan merasa beberapa tempat yang agak kurang selesa, dan anda perlu belajar ianya adalah normal.
"Dia kini berada di situasi itu, tetapi yang jelas dia tiada mengalami sebarang masalah. Saya tidak risau tentangnya melainkan dia tidak boleh bermain.
Liverpool akan menghadapi West Ham dalam perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada hari ahad, 12 Ogos nanti.