SEPANG 24 Julai – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memberi ganjaran sebanyak RM6,000 kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bawah 22 atas kejayaan mereka melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika menyambut kepulangan skuad muda negara dari pusingan peringkat kelayakan di Bangkok hari ini.
Tambahnya, satu berita gembira juga bakal diumumkan oleh Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kejayaan skuad yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee itu.
“Pertama sekali tahniah kepada jurulatih, pemain dan semua barisan kejurulatihan kerana menaikkan nama negara dengan layak secara merit ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23.
“Sudah tentu kejayaan ini akan ada ganjarannya iaitu setiap pemain dan pegawai akan menerima RM6,000 tiap seorang dan mungkin ada berita gembira yang akan diumumkan Tunku selepas berjumpa dengan mereka nanti,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.
Mengulas lanjut, Hamidin memaklumkan bahawa FAM juga telah berbincang dengan Football Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk mempertimbangkan kemungkinan meminda baki jadual perlawanan Liga Malaysia bagi memberi laluan kepada persiapan skuad projek Sukan SEA itu menjalani latihan dalam misi memburu pingat emas dalam temasya yang akan berlangsung Ogos ini.
“Kami telah berbincang dalam mensyuarat Exco FAM dan dengan FMLLP untuk memberi laluan melepaskan pemain bagi persiapan Sukan SEA. Semua pemain akan memulakan kembali latihan pada 6 Ogos ini dan mungkin sebahagian yang lain akan dipanggil awal,” ujarnya.
Hamidin juga berkata kontrak Kim Swee berkemungkinan besar akan disambung namun perlu mendapat perkenaan presiden terlebih dahulu. Kontrak semasa jurulatih dari Melaka itu berakhir hujung tahun ini.
“Saya percaya dengan kejayaan yang diraih Kim Swee, maka tidak ada alasan untuk kami tidak menyambung kontrak beliau yang bakal tamat pada hujung tahun ini.
“Bagaimanapun perkara itu hanya dapat disahkan oleh Tunku,” katanya.
(kredit : utusanonline)
Tiada ulasan
Catat Ulasan