Penjaga Gol Indonesia Meninggal Dunia Akibat Pertembungan Dengan Rakan Sepasukannya...




JAKARTA: Bola sepak Indonesia berduka hari ini selepas penjaga gol, Choirul Huda meninggal dunia selepas bertembung dengan rakan sepasukannya di atas padang.
Huda, 38, yang juga penjaga gol utama kelab Persela di Timur Jawa tumbang sejurus sebelum babak pertama perlawanan bertemu Semen Pedang, semalam selepas berlanggar dengan pemain tengah Brazil, Ramon Rodrigues.
Rakaman video menunjukkan bapa kepada dua anak itu mengalami kesakitan di bahagian dada sebelum dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital.
Doktor berkata, dia berhenti bernafas dan mengalami serangan jantung.
"Dia menerima rawatan kecemasan selama beberapa minit di hospital tetapi dia tidak boleh diselamatkan. Dia meninggal dunia sebelum jam 5:00 petang semalam," kata pembantu jurulatih Persela, Yuhronur Efendi kepada AFP.
Doktor berkata, pasukan perubatan cuba untuk menyelamatkan pemain veteran itu selama lebih sejam.
"Choirul Huda mengalami trauma akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan yang mengakibatkan dia berhenti bernafas dan mendapat serangan jantung," kata doktor daripada hospital di Lamongan, Yudistiro Andri Nugroho dalam kenyataan.
Nugroho berkata, Huda mengalami kemungkinan trauma di bahagian leher dan kepala susulan impak ke atas dada dan rahang bawahnya, selepas dia melonjak ke arah kaki pemain yang sedang berlari kepadanya dan terperangkap dengan kaki Rodrigues.
Persela memberikan penghormatan terhadap Huda yang bermain lebih 500 kali bersama pasukan itu sejak 1999 dengan menggelarnya "legenda sebenar."
Ribuan peminat juga menggunakan media sosial untuk memberi penghormatan terhadap Huda yang dikenali peminat Persela sebagai "Satu lelaki, satu kelab, satu cinta." - AFP