Jorginho Beri Amaran Mengenai Perpindahan Ke Juventus Kepada Maurizio Sarri!




Bintang Chelsea, Jorginho memberi amaran kepada Maurizio Sarri bahawa dia boleh 'mengkhianati' penyokong Napoli dengan mengambil tugas sebagai pengurus Juventus pada musim panas ini. 
Laporan mendakwa bahawa Sarri dijangka akan meninggalkan Chelsea selepas kurang daripada 11 bulan mengendalikan kelab itu, dengan Juventus bersetuju untuk membawanya ke Turin.
Difahamkan Juve telah mengenal pasti Sarri sebagai sasaran utama mereka untuk mengambil alih tugas dari Massimiliano Allegri dan telah menawarkan kontrak selama tiga tahun kepada pengurus berusia 60 tahun itu. 
Jorginho yang mengikuti Sarri ke Stamford Bridge pada musim panas yang lalu - akan 'tidak suka' untuk melihat Sarri berada di Juventus musim depan dan percaya tindakan seperti itu dilihat sebagai satu 'pengkhianatan' oleh peminat Napoli.
"Dia melakukan tugas yang baik untuk Chelsea," kata pemain tengah itu dalam sidang akhbar menjelang perlawanan kelayakan Euro 2020 Itali menentang Greece. 
"Terdapat beberapa kritikan, tetapi akhirnya kami menduduki tempat ketiga, memenangi trofi dan tewas di perlawanan akhir (Carabao).
"Saya fikir ia adalah musim yang hebat, dan saya tidak suka untuk melihat dia pergi. Peminat-peminat Napoli masih ada namanya di dalam hati mereka, jadi ia adalah normal jika mereka marah. 
"Mereka bersemangat, mereka boleh memberikan segala-galanya. Mereka boleh melabelkannya sebagai pengkhianatan, mereka adalah seperti itu. Kita akan lihat apa yang berlaku."
Jorginho yakin bahawa dia telah membuktikan para pengkrtitiknya adalah silap berikutan kritikan yang kuat pada permulaan kerjayanya di Chelsea. 
"Kritikan itu mungkin disebabkan oleh budaya bola sepak di England. Mereka tidak biasa melihat seorang pemain seperti saya berada di hadapan pertahanan," tambah bekas bintang Napoli itu. 
"Saya lebih kepada membaca permainan dan kurang dari aspek penggunaan fizikal. Bagi peminat, semuanya itu adalah sangat berbeza dan kemudian mereka menyalahkan saya apabila keputusannya tidak seperti yang diinginkan. 
"Tetapi pada akhirnya saya membuktikan bahawa mereka salah tentang saya. Di Liga Perdana Inggeris, tekanannya adalah lebih tinggi dan pasukan tidak takut untuk menyerang.
"Itulah sebabnya mengapa saya terpaksa bertahan lebih banyak daripada apa yang saya lakukan di Itali. Permainannya adalah lebih terbuka. Di Serie A mentaliti ini telah hilang, beberapa pasukan sudahpun sedia tewas dan tidak pernah percaya pada kemenangan. 
"Inilah sebabnya mengapa pasukan-pasukan besar Itali mengalami kesukaran dalam Liga Juara-Juara. 
"Sejauh mana yang saya ketahui, saya telah bekerja dengan pemain pada tahap tertentu, yang membolehkan saya terus berkembang."