Divock Origi Akui MengharapkanTawaran Kontrak Jangka Panjang Yang Baru Di Liverpool!




Divock Origi berharap peranan penting yang dimainkannya untuk Liverpool di perlawanan akhir Liga Juara-Juara cukup untuk memberikan dia tawaran kontrak jangka panjang yang baru di Merseyside. 
Penyerang berusia 24 tahun itu telah menjaringkan beberapa gol penting untuk Liverpool musim ini dan sekali lagi menjaringkan gol penting untuk kemenangan pasukan Jurgen Klopp ke atas Tottenham di Madrid. 
Tempoh pinjaman di Wolfsburg musim lalu memberikan keraguan yang serius terhadap masa depan Origi, tetapi prestasi cemerlang Origi dalam beberapa bulan kebelakangan ini kelihatan telah menyelamatkan kerjayanya di Liverpool.
Origi, yang kini memasuki 12 bulan terakhir dalam kontrak semasanya, yakin bahawa perbincangannya dengan Liverpool akan membuahkan hasil yang 'positif'.
"Dalam beberapa minggu akan datang kami akan mengadakan beberapa rundingan dan saya fikir saya perlu duduk bersama wakil saya dan lihat bagaimana kita boleh memutuskan mengenai masa depan saya," katanya sebelum menjelang perlawanan kelayakan Euro 2020 Belgium menentang Kazakhstan dan Scotland. 
"Tetapi buat masa ini saya hanya mahu memberi tumpuan kepada dua perlawanan terakhir ini dan kemudian selepas musim selesai, kami boleh memutuskannya. Itulah keadaannya."
Ditanya adakah dia melihat masa depannya yang panjang di Liverpool, Origi menjawab: "Itu adalah sesuatu yang saya ingin bincangkan bersama kelab dan wakil saya secara lebih teliti. 
"Kemudian, pada masa akan datang, [kita akan] umumkan apa yang telah kita putuskan. 
"Tetapi saya fikir semua perbincangan yang berlaku adalah di antara saya, kelab dan wakil saya dan diharapkan hasilnya adalah positif pada akhirnya."
Origi percaya 'pengalaman' Liverpool musim ini akan memberi mereka kedudukan yang baik dengan mereka melihat untuk mengalahkan Manchester City untuk mendapatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan. 
"Ia adalah matlamat besar kami," katanya.
"Kami pasti mahu melangkah ke sana dan kami mempunyai pengalaman itu pada tahun ini. 
"Ianya bagus untuk memenangi Liga Perdana Inggeris tetapi saya fikir sekarang kita hanya perlu menikmatinya, menghargai apa yang telah kita lakukan dan menetapkan semula matlamat kita untuk musim baru."