Sergio Ramos Berada Dalam Radar Liverpool Dan Manchester United Musim Panas Ini!




Liverpool dan Manchester United telah membuat langkah untuk menandatangani kapten Real Madrid, Sergio Ramos, menurut laporan di Sepanyol. 
Ramos serius mempertimbangkan masa depannya di Real Madrid berikutan pertemuannya bersama presiden kelab Florentino Perez pada awal bulan ini.
Menurut Marca dan El Chiringuito, Ramos menjelaskan bahawa dia tidak yakin sama ada untuk kekal di Santiago Bernabeu dan percaya perubahan kelab dapat memberi manfaat untuk kedua belah pihak. 
Ramos juga tidak gembira selepas dia bertengkar dengan Perez di bilik persalinan Madrid selepas terkeluar dari Liga Juara-Juara selepas kekalahan 4-1 kepada Ajax. 
Perez mengecam pemain Madrid kerana dia tidak berpuas hati dengan sikap mereka tetapi Ramos membela rakan sepasukannya dan dilaporkan memberitahu presiden kelab: "Saya telah memberikan segala-galanya untuk lencana ini, kelab ini dan juga untuk anda" sebelum menambah, "Anda membayar saya dan saya akan pergi".
Menurut AS, beberapa kelab sedang memantau situasi Ramos, dengan United dan Liverpool telah menghubungi wakil bagi pemain berusia 33 tahun itu. 
Juventus juga menyatakan minat mereka untuk menandatangani Ramos selepas mendapatkan kontrak untuk Cristiano Ronaldo dari Madrid pada musim panas lalu.
Sementara itu, United telah membuat tawaran untuk menandatangani Ramos pada musim panas 2015 tetapi pemain antarabangsa Sepanyol itu akhirnya menandatangani kontrak baru bersama Madrid menjelang akhir jendela perpindahan tersebut. 
Kaitan terbaru Liverpool dengan Ramos muncul sebagai satu kejutan besar berikutan kelakuannya terhadap pasukan Jurgen Klopp di perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada tahun lalu. 
Ramos dilihat ketawa seketika selepas menyaksikan Mohamed Salah terpaksa dikeluarkan disebabkan kecederaan bahu, sementara menyiku kepala Loris Karius pada separuh masa kedua yang menyebabkan penjaga gol Liverpool itu mengalami gegaran otak.