Reaksi Pepe Reina Mengenai Liverpool Kini Kembali Menggegar Bola Sepak Eropah!




Pepe Reina mempunyai perasaan déjà vu ketika ini apabila Liverpool sekali lagi bersaing untuk merebut kejuaraan utama.
Menjadi salah satu pemain penting untuk The Reds di bawah Rafael Benitez yang pernah menggegarkan bola sepak Eropah, penjaga gol itu percaya sejarah kini kembali berulang.
Jurgen Klopp bersama-sama anak buahnya akan memainkan perlawanan akhir Liga Juara-juara mereka untuk dua tahun berturut-turut pada 1 Jun ini selepas menjadi pasukan ketiga dengan mata tertinggi dalam sejarah bola sepak Inggeris.
Terdapat tempoh dalam sembilan tahun Reina berada di Anfield di mana pentas separuh akhir Liga Juara-juara adalah tempat biasa untuk Liverpool - dan kelihatannya masa itu akan kembali menurut pemain yang merupakan peminat nombor satu Liverpool yang menonton dari Milan.
"Ia ada persamaan," kata Reina kepada liverpoolfc.com. "Ianya baik untuk bola sepak itu sendiri. Itu adalah tempat di mana Liverpool sepatutnya berada dan harapnya ia akan kekal di situ untuk tahun-tahun yang akan datang.
"Mereka telah melakukan tugas yang luar biasa dari bahagian atasan kelab itu sehinggalah kepada pemain. Mereka kelihatan lapar pada saya dan itu adalah penting dalam bola sepak - untuk menjadi lebih baik .
"Dengan keseronokan mengenai peningkatan itu pada setiap tahun, ianya hanya akan menjadikan mereka lebih baik lagi."
Reina masih mempunyai rumah di Merseyside dan kerap mengikuti perkembangan kelab itu sejak dia pergi meninggalkannya pada tahun 2014.
Kini di AC Milan, dengan bukan berperanan sebagai penjaga gol no.1, hobi bintang Sepanyol itu adalah menonton perlawanan Liverpool.
"Bila-bila sahaja apabila saya mahu,"katanya. "Saya mungkin adalah peminat no.1."
"Ia adalah rumah. Saya berada di sana selama lapan tahun - sembilan termasuk tempoh pinjaman saya ke Napoli. Saya menganggap Liverpool sebagai rumah saya dan ia akan sentiasa kekal seperti itu. Ia seperti yang mereka selalu katakan; 'Once a Red, always a Red.'
"Saya berasa baik di sini. Ia kelab yang hebat. Selepas perlawanan akhir 2007... saya tidak pernah terfikir akan menamatkan kerjaya saya di Milan!
"Setakat ini semuanya baik-baik sahaja, walaupun saya tidak bermain sebanyak yang saya mahu - tetapi saya mempunyai penjaga gol yang luar biasa di hadapan saya. Apa yang boleh saya lakukan sekarang adalah meningkatkan diri dan membantu dia."
Di usia 36 tahun, Reina sudah mula merancang apa yang akan dilakukannya di masa akan datang apabila dia benar-benar bersara dari dunia bola sepak.
Bekas rakan sepasukannya Steven Gerrard dan Xavi Alonso telah masuk ke dunia kejurulatihan, sementara Jamie Carragher bertindak sebagai pengulas. 
Tetapi terdapat satu keinginan yang mahu dilakukan Reina untuk masa depannya.
"Saya akan sangat suka untuk datang ke satu perlawanan Liverpool sebelum berakhir musim ini," tambah Reina.
"Tetapi disebabkan jadual kami, ianya sukar. Isteri dan tiga orang anak saya telah berada di Liverpool baru-baru ini, beberapa bulan yang lalu.
"Saya masih mempunyai kontrak dua tahun bersama Milan, selepas itu kita akan lihat. Saya akan lihat bagaimana saya rasakan, terutama sekali secara mental, dan kemudian saya akan putuskan.
"Sudah tentu saya mahu teruskan kehidupan saya berkaitan dengan bola sepak dengan menjadi jurulatih, pengurus - saya tidak tahu. Tapi satu perkara yang jelas, saya akan lakukan perkara yang berkaitan dengan bola sepak.
"Itu adalah idea saya sekarang. Mungkin dalam tempoh dua tahun saya akan berfikir dengan cara yang lain. Tetapi idea saya adalah untuk menjadi pengurus satu hari nanti."