Heung-min Son Beri Amaran Buat Liverpool Menjelang Perlawanan Akhir Liga Juara-juara!




Penyerang Tottenham Heung-min Son telah menegaskan bahawa dia yakin dia akan kembali kepada 'mod terbaiknya' menentang Liverpool di perlawanan akhir Liga Juara-juara.
Sementara kebanyakan pemain lain mendapatkan rehat untuk tempoh tiga minggu menjelang perlawanan akhir di Madrid pada 1 Jun nanti, Son memperoleh rehat yang lebih panjang untuk membuat persediaan selepas terlepas aksi terakhir liga buat Spurs dalam keputusan seri 2-2 menentang Everton selepas mengutip kad merah pada perlawanan sebelumnya.
Melalui prestasi yang cemerlang sebelum Krismas dan dipermulaan tahun 2019, prestasi Son kian merundum, sebelum dia menjadi hero dalam perlawanan suku akhir menentang Manchester City, tetapi dia bersikap optimis bahawa tempoh rehat ini akan dapat mengembalikan prestasinya.
"Saya fikir semua orang memerlukan masa ini untuk berehat," Son memberitahu Evening Standard.
"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk cergas, untuk memastikan kami memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini. 
"Saya orang yang sangat-sangat positif dan ini adalah satu perasaan yang luar biasa untuk bermain di perlawanan akhir Liga Juara-juara, jadi saya hanya mahu memastikan saya bersedia untuk setiap bola dan setiap saat.
"Ianya dalam tempoh tiga minggu, jadi semuanya berada di tangan kami. Saya berharap yang saya dalam mod terbaik!"
Son telah dinamakan sebagai pemain terbaik tahunan kelab itu menerusi undian peminat pada hari Ahad dan juga dianugerahkan gol terbaik tahunan menerusi gol solonya menentang Chelsea pada bulan November.
Tetapi, meskipun gembira dengan kemenangan dramatik menewaskan Ajax di perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara, Son mengakui dia berasa kecewa selepas terlepas aksi terakhir musim ini menentang Everton di tempat sendiri.
"Ia merupakan minggu yang gila," kata bintang Korea Selatan itu. "Kami menghabiskan hari Rabu itu untuk meraikan kejayaan kami. Kami sangat gembira.
"Dan kemudian saya menyedari bahawa saya akan terlepas untuk bermain pada hari Ahad dan saya sedih. Tetapi masih, kami berada di perlawanan akhir Liga Juara-juara dan ia satu perasan yang hebat.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai menang atau kalah. Ada masa yang banyak untuk bersedia bagi perlawanan penting ini.
"Memenangi Liga Juara-juara sangat bermakna, tetapi kekalahan akan menjadi kesakitan untuk tempoh yang panjang. Kami hanya mahu bersedia dan kemudian kami akan lihat apa yang berlaku.
"Liverpool adalah pasukan yang kuat, jadi bagaimana cara kami bermain adalah penting."