Roberto Firmino Akui Ronaldinho Dan Jurgen Klopp Banyak Mempengaruhi Kerjaya Bola Sepaknya!




Penyerang Liverpool Roberto Firmino memberi pujian buat dua individu yang menjadi sumber inspirasinya iaitu Ronaldinho dan Jurgen Klopp dalam mengembangkan kemahirannya di atas padang sebagai penyerang.
Sejak ketibaannya di Anfield pada tahun 2015 dari Hoffenheim, pemain kebangsaan Brazil itu terus menunjukkan peningkatan, terutama sekali di bawah kendalian bekas pengurus Borussia Dortmund.
Dia telah menjadi kunci utama buat pasukan The Reds dan Selecao sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan membantu pasukannya itu layak ke perlawanan akhir Liga Juara-juara tahun lepas, termasuklah menjadikan Liverpool pencabar kejuaraan liga musim ini.
Bercakap kepada majalah Eight by Eight, Firmino mendedahkan dia mengambil inspirasi dari Legenda Brazil Ronaldinho, dan penghargaan terhadap bakatnya menjadi dia terus berusaha gigih.
"Saya terbawa-bawa dengan cara dia bermain bola sepak," kata pemain berusia 27 tahun itu.
"Tetapi ianya tidak cukup. Saya perlu kembangkan cara permainan saya sendiri, untuk mencuba menjadi pemain bola sepak terbaik di dunia."
Mengenai Klopp, yang menggambarkan dia sebagai enjin dalam pasukan, Firmino memberi pujian dengan penghormatan yang sama. Dia menambah: "Kami menyesuaikan diri dengan sangat baik. Dia jurulatih yang hebat, individu yang hebat, sangat bersemangat di atas padang.
"Apabila dia mengatakan perkara itu mengenai saya, pada saya, ia adalah petanda bahawa saya telah memberikan apa yang dia mahukan. Ia memotivasikan saya untuk terus berusaha, untuk melakukan apa yang dia mahukan.
Dia juga memberi kredit buat Klopp kerana memberikan dia peluang bermain sebagai penyerang tengah, selepas menghabiskan banyak masa sepanjang kerjayanya di posisi no.10.
"Saya adalah pemain tengah, juga pernah bermain di posisi pertahanan tengah," tambahnya mengimbau semula semasa zaman remajanya.
"Tetapi apabila saya mendapat bola, saya akan mula menggelecek dan melakukan nutmeg dan membantu serangan. Jadi setiap tahun saya akan terlibat sedikit sebanyak kepada bahagian serangan di atas padang.
"Apabila saya masuk ke pasukan bawah 17 tahun, saya bermain di posisi no.10, yang mana ianya posisi yang saya mainkan sehingga saya bermain sebagai penyerang tengah.
"Ianya adalah idea Klopp untuk meletakkan saya di posisi no.9. Tetapi saya menerima peranan ini dan menyesuaikan diri untuk itu. Sekarang saya mahu teruskan bermain di posisi ini sehingga akhir kerjaya saya."