Divock Origi Mengenai Kerjayanya Di Liverpool - "Saya Sanggup Bermain Di Posisi Apapun Demi Kemenangan Pasukan!"




Komitmen Divock Origi secara kolektif bermaksud dia dengan gembira mahu bermain di mana-mana bahagian mengikut kehendak Liverpool untuk kemenangan.
Prestasi The Reds kini boleh dikatakan berada pada tahap yang baik sama ada bermain di tempat sendiri ataupun di tempat lawan menjelang pecutan akhir dalam aksi Liga Perdana selepas rehat antarabangsa.
Berada di puncak Liga dengan kelebihan dua mata -meskipun telah bermain lebih satu perlawanan berbanding Manchester City- dan dengan perlawanan peringkat separuh akhir Liga Juara-juara juga semakin hampir, Origi dan rakan sepasukannya kekal dalam usaha untuk mendapatkan kedua-dua kejuaraan tersebut.
Impak pemain antarabangsa Belgium itu musim ini kebanyakannya menerusi bangku simpanan, yang paling diingati adalah jaringannya menentang Everton di Anfield pada bulan Disember, dan yang terbaru bermain di posisi sayap kiri dalam kemenangan The Reds 2-1 menentang Fulham.
Kepentingan Origi kepada Jurgen Klopp dapat dilihat selepas dia tampil sebanyak 8 kali daripada 9 perlawanan terakhir Liverpool dalam semua pertandingan, dua menerusi permulaan di kesebelasan utama, dan pemain berusia 23 tahun itu menyatakan keazamannya untuk memberi sumbangan yang terbaik setiap kali diperlukan.
"Ianya adalah permainan berkumpulan dan seperti yang saya selalu katakan, saya cuba memberikan yang terbaik setiap kali saya mendapat peluang," kata penyerang itu kepada Majalah rasmi LFC.
"Saya fokus pada perkara yang saya boleh lakukan untuk membantu pasukan dalam apa juga keadaan. Saya hanya perlu kekal positif. Saya tahu yang kami mempunyai impian yang besar jadi apa juga peranan yang diberikan, saya dengan gembira melaksanakannya.
"Sudah tentu saya mengimpikan yang lebih baik dan saya mahu bermain sebanyak yang mungkin tetapi apa yang lebih penting adalah pasukan ini dan impiannya."
Pertemuan menentang Tottenham pada 31 Mac ini di Anfield adalah sangat penting buat The Reds musim ini. 
Perlawanan itu merupakan perlawanan pertama dari baki tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris yang tinggal dalam tempoh masa 26 hari, dan Origi telah mendedahkan sasaran pasukan Jurgen Klopp dalam melalui detik-detik sukar di penghujung musim ini.
"Kami mempunyai begitu banyak kualiti dan kami hanya perlu tumpukan kepada perkara yang kami lakukan setiap minggu dengan memastikan kami berada di tahap terbaik. Pada akhirnya itu adalah perkara yang kami boleh kawal," tambah Origi. 
"Sudah tentu kami mahu menang semua perlawanan. Kami tahu jika kami berjaya lakukannya kami mempunyai peluang di penghujung musim nanti. Kami mempunyai kumpulan pemain yang begitu baik jadi kami hanya perlu untuk kekal positif dan teruskan usaha.
"Bermula dalam setiap sesi latihan kami perlu pamerkan yang terbaik, dan di setiap perlawanan kami cuba untuk bermain dengan sehabis baik.
"Apapun yang berlaku - negatif atau positif - kami hanya perlu teruskan berjalan dan kemudian pada akhir musim nanti kita akan lihat apa yang berlaku."
Kebanyakan Kerjaya bola sepak Origi di Liverpool adalah sebagai penyerang tengah, tetapi dia kini kerap digunakan di bahagian kiri dan kanan dan menjaringkan gol ketika bermain di posisi itu dalam kemenangan selesa The Reds menewaskan Watford 5-0.
Dia menambah: "Saya sukakan peranan itu. Malah di pasukan remaja, saya biasa bermain di bahagian serangan dan juga di sayap jadi saya selesa bermain dalam kedua-dua posisi. Orang ramai mungkin melihat saya bermain lebih banyak sebagai penyerang tengah beberapa tahun kebelakangan ini tetapi saya juga suka bermain di posisi sayap.
"Saya gembira bermain dengan Sadio dan Mo (menentang Watford) tetapi sudah tentu mereka adalah pemain berkelas dunia yang mana ia menjadi mudah buat saya dan saya fikir ianya hanya tentang menikmati bermain di atas padang. Menjadi pemain yang ofensif, saya sukakannya bila saya mempunyai ruang di hadapan saya. Itu semua adalah baik dan saya fikir kami mempamerkannya menerusi satu permainan yang sangat baik pada malam itu."