James Rodriguez Beri Amaran Bayern Munich Mampu Beri Masalah Besar Buat Liverpool Di Anfield!




Liverpool telah menerima amaran dari James Rodriguez menjelang pertembungan mereka dalam pusingan ke-16 Liga Juara-juara menentang Bayern Munich.
Pertembungan kelab gergasi Jerman itu dengan The Reds akan berlangsung pada Selasa, 19 Februari dalam usaha mereka untuk mendapatkan kelebihan dalam pusingan kalah mati.
Liverpool berhasrat untuk melakukan lebih baik berbanding musim lepas ketika mereka tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara kepada Real Madrid.
Tetapi Rodriguez yakin Bayern mampu tewaskan Liverpool dan mengakhiri harapan Jurgen Klopp untuk menjulang trofi tersebut di penghujung musim nanti.
"Saya sangat tidak sabar untuk bertemu Liverpool," kata Rodriguez kepada Sportbild.
"Anda tidak boleh melakukan kesilapan dalam perlawanan seperti ini, tetapi saya fikir kami mampu memberikan masalah buat Liverpool.
"Kami mempunyai pasukan yang cukup bagus untuk layak ke pusingan seterusnya jika ia berjalan lancar."
Rodriguez juga bercakap mengenai persembahannya sendiri selepas dia terus berusaha untuk membina tahap kecergasan dan prestasinya selepas pulih dari kecederaan.
"Saya fikir saya mempunyai permainan yang baik ketika bertemu Schalke," jelasnya yang membuat penampilan ketiganya berturut-turut sebagai kesebelasan utama.
"Saya berasa lebih baik sepanjang masa. Saya tidak bermain untuk tempoh hampir tiga bulan. 
"Saya memberikan lebih banyak kualiti dengan setiap permainan, tetapi saya masih boleh bermain dengan lebih baik lagi."
Rodriguez hanya membuat 16 penampilan sepanjang musim ini, berjaya jaringkan tiga gol dan melakukan empat assist.
Bayern kini dikedudukan kedua Bundesliga, lima mata ketinggalan di belakang pendahulu Borussia Dortmund.
Bekas pertahanan Liverpool, Markus Babbel percaya siapa sahaja yang memenangi pertembungan Liga Juara-juara ini akan mempunyai momentum terbaik sepanjang musim ini.
Dia berkata : "Siapa sahaja yang menang perlawanan ini akan menerima begitu banyak perkara positif melaluinya yang dibawa ke pusingan seterusnya dan juga dapat membantu untuk sepanjang musim ini dalam saingan liga.
"Ianya perlawanan yang sangat menarik, bagi saya. Kedua-dua pasukan adalah sama.
"Situasi yang berbeza tetapi tidak pengalaman dalam situasi baru seperti ini, dan jika anda menang perlawanan ini ia akan memberikan anda tenaga kuasa yang sangat banyak untuk sepanjang musim."