Jurgen Klopp Mengesahkan Alberto Moreno Bakal Diturunkan Menentang Wolves Untuk Aksi Piala FA!




Jurgen Klopp mengesahkan bahawa Alberto Moreno akan diturunkan untuk aksi perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Wolves pada malam Isnin ini. 
Moreno telah bermain hanya empat perlawanan dalam semua pertandingan untuk Liverpool musim ini dengan Andy Robertson merupakan pilihan utama di pertahanan kiri Liverpool. 
Pemain berusia 26 tahun itu akan tamat kontrak semasanya pada akhir musim ini dan dijangka akan berpindah keluar pada musim panas akan datang selepas mendakwa dia telah dilayan secara tidak adil oleh Klopp pada minggu lepas. 
Walau bagaimanapun, Klopp bersedia untuk memberikannya peluang dalam saingan Pial FA dan memuji pemain antarabangsa Sepanyol itu kerana sikap profesionalismenya. 
Semasa ditanya sama ada Moreno akan bermain, Klopp menjawab: "100 peratus, 100 peratus. Alberto adalah satu lagi contoh seorang yang sangat profesional dan merupakan pemain yang sangat penting dalam bilik persalinan. 
"Dia adalah sisi positif di planet ini saya boleh katakan. Beliau sentiasa dalam bentuk yang sangat-sangat baik, dia sukakan latihan, suka untuk bermain dan suka melakukan semua perkara ini dan dia benar-benar baik dengan semua pemain yang lain. 
"Saya boleh katakan Alberto akan bermain, tidak ada keraguan tentang itu. Dia perlu bermain, jelas sekali."
Moreno telah mengalami kesukaran untuk memenuhi jangkaan di Anfield berikutan perpindahan bernilai £ 12 juta dari Sevilla pada tahun 2014 dan telah kehilangan tempatnya sejak beberapa musim yang lalu. 
Dia pada mulanya kehilangan tempatnya untuk James Milner pada musim 2016-17 dan menjadi pilihan kedua semasa Robertson tiba di kelab itu dari Hull pada tahun 2017.
Simon Mignolet juga dijangka akan turun bermain untuk memberikan rehat kepada Alisson sementara Klopp juga boleh melihat untuk memberikan rehat pada posisi-posisi tertentu dengan mereka lebih menumpukan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Liverpool masih kekal menduduki tangga teratas Liga Perdana walaupun tewas 2-1 kepada Manchester City pada hari Khamis yang lalu dan seterusnya akan menentang Brighton di tempat lawan hujung minggu ini.