Frank Lampard Dan Marcus Alonso Yakin Chelsea Adalah Tempat Terbaik Buat Hudson-Odoi!




Frank Lampard menggesa Callum Hudson-Odoi untuk menolak perpindahan ke Bayern Munich dan kekal bertahan di Chelsea untuk bersaing mendapatkan tempatnya di bawah Maurizio Sarri. 
Chelsea dilaporkan menerima tawaran sekitar £ 35 juta dari Bayern untuk Hudson-Odoi dan pemain berusia 18 tahun itu serius untuk mempertimbangkan perpindahan itu selepas menyaksikan kenaikan mendadak prestasi Jadon Sancho di Jerman. 
Hudson-Odoi hanya membuat satu penampilan sebagai pemain gantian dalam Liga Perdana musim ini tetapi telah beraksi cemerlang dalam aksi pertandingan piala untuk The Blues. 
Lampard mengagumi persembahan Hudson-Odoi dan berharap pemain antarabangsa England bawah-19 itu masih merupakan pemain Chelsea apabila jendela perpindahan Januari ditutup nanti.
"Menjadi dekat dengan Chelsea, saya mahukan dia kekal di sana. Ia adalah sebuah kelab yang hebat, sebuah kelab yang luar biasa, "kata bekas pemain tengah Chelsea itu. 
"Dia perlu kekal di sana dan bekerja keras untuk mendapatkan peluang bermain dalam pasukan.
"Dia telah melakukan itu baru-baru ini dan dia telah bermain, dan telah melakukannya dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhirnya. 
"Harapnya kita akan melihat lebih banyak lagi. Saya fikir ia adalah satu peluang yang baik untuk dia melakukannya."
Marcos Alonso juga percaya Hudson-Odoi harus menolak Bayern dan menjadi pemain hebat di Stamford Bridge. 
Bintang Sepanyol itu berkata: "Dia seorang pemain yang baik, tetapi dia sangat muda. Dia perlu bersabar dan dahagakan permainan dan berjuang untuk mendapatkan tempat dalam pasukan ini. 
"Itu semua yang perlu dia lakukan, dia mempunyai semua syarat untuk menjadi pemain yang hebat, kini terpulang kepada dia untuk berjuang untuk tempatnya di sini atau cuba mencari lebih banyak minit bermain di tempat lain.
"Bayern Munich? Kami adalah Chelsea, salah satu pasukan yang hebat dan Liga Perdana adalah liga yang paling kompetitif di dunia. 
"Saya tidak tahu mengapa seseorang akan pergi ke Bayern Munich."