Prestasi Arsenal Terus Cemerlang, Mesut Ozil Cipta Rekod Baru EPL Bagi Bintang Dari Jerman!




Jaringan Mesut Ozil di babak pertama perlawanan menentang Leicester City telah menjadikan dia sebagai pemain Jerman paling prolifik di Liga Perdana Inggeris, meninggalkan lagenda Tottenham Spurs Jurgen Klinsmann.
Pemain berusia 30 tahun itu kembali dalam kesebelasan utama menentang Leicester City -selepas terlepas aksi sebelum rehat antarabangsa menentang Fulham- dan diberikan lilitan kapten.
Walaupun Leicester mendahului di babak pertama hasil jaringan sendiri oleh pemain pertahanan Hector Bellerin, Mesut Ozil berjaya menyamakan kedudukan sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Bintang Jerman itu, yang telah bersara untuk aksi antarabangsa bersama Jerman, membuat gerakan yang menarik bersama Hector Bellerin menerusi gerakan satu dua.
Menerima semula hantaran di dalam kotak penalti oleh pertahanan Sepanyol itu, Ozil membuat percubaan tepat ke arah gol - menyentuh sedikit tiang gol sebelum menerjah jaring - untuk mencipta sejarah baru di Liga Perdana Inggeris bagi bintang dari Jerman.
Ozil sebelum ini terikat dengan jumlah jaringan sebanyak 29 kali bersama-sama Jurgen Klinsmann dan Uwe Rosler, tetapi berjaya menjaringkan golnya yang ke-30 untuk menjadi penjaring terbanyak bagi pemain Jerman di Liga Perdana Inggeris.
Kebiasaannya lebih dikenali menerusi assist yang dilakukan berbanding jaringan gol, tetapi musim ini dia semakin klinikal di hadapan gol.
Ozil sudahpun menjaringkan 3 gol musim ini dalam hanya 7 penampilan - sama banyak jumlah jaringan musim lalu dalam 22 penampilan - sementara dia juga telah melakukan 50 assist dalam Liga Perdana Inggeris sejak menyertai The Gunners dari Real Madrid pada tahun 2013.