Gonzalo Higuain Akui Maurizio Sarri Mahukan Dia Tetapi Tidak Pihak Atasan Chelsea!




Gonzalo Higuain mendedahkan sebab dia tidak menyertai Maurizio Sarri di Chelsea musim panas ini kerana pihak atasan kelab tidak mahukan dia. 
Sarri dikaitkan dengan perpindahan untuk Higuain ketika dia mengambil alih tugas di Chelsea, namun perpindahan itu tidak terlaksana dan penyerang itu akhirnya menyertai AC Milan.
Higuain mencatatkan rekod jaringan baru dalam saingan Serie A bersama Napoli di bawah bimbingan Sarri dan penyokong Chelsea sangat teruja dengan harapan bahawa pemain berusia 30 tahun itu akan menyertai bekas pengurusnya di Stamford Bridge.
Sarri ada menghubungi Higuain mengenai perpindaan itu tetapi penyerang itu mendakwa pihak Chelsea tidak begitu berminat dan dia akhirnya memilih perpindahan ke Milan. 
"Sarri adalah satu-satunya orang yang mahu saya di Chelsea," kata Higuain. "Semua orang menginginkan saya di AC Milan, sedangkan di London saya hanya diinginkan oleh pengurus. 
"AC Milan bersungguh-sungguh untuk menandatangani saya, Elliott melakukan usaha yang besar untuk saya dan Leonardo, Maldini dan Gattuso tahu kelab itu dengan sangat baik. Saya sangat menghargai pendekatan mereka semasa rundingan."
Higuain telah menemui semula prestasi terbaiknya di Milan dengan menjaringkan enam gol dalam tujuh penampilan. 
Juventus membenarkan perjanjian pinjaman selama setahun yang juga menyaksikan pemain pertahanan Leonardo Bonucci bergerak ke arah yang bertentangan setelah hanya satu musim di Milan. 
Sarri akan kecewa mendengar Higuain yang merasa tidak diinginkan di Chelsea selepas jendela perpindahan pertama yang agak senyap sebagai pengurus baru The Blues.
Chelsea hanya membuat satu pembelian utama pada musim panas lalu dengan Sarri membawa masuk Jorginho dari Napoli. 
Mateo Kovacic juga tiba, tetapi hanya dengan perjanjian secara pinjaman dan pemain tengah itu dijangka kembali ke Real Madrid pada akhir musim nanti. 
Sarri telah meminta beberapa pembelian masuk pemain pada bulan Januari, tetapi telahpun menunjukkan prestasi yang baik bersama skuad barunya itu pada permulaan musim ini.