Sanchez Mengagumi Kualiti Fred Dan Andreas Pereira Namun Akui Tidak Gembira Kurangnya Pembelian Pemain Bertaraf Dunia!




Alexis Sanchez tidak berpuas hati dengan urusan perpindahan Manchester United musim panas ini dan merasakan kelab itu harus memberi keutamaan untuk mendapatkan lebih banyak pemain bertaraf dunia. 
Hanya tiga muka baru yang tiba di Old Trafford musim panas ini iaitu pemain tengah Fred, penjaga gol Lee Grant dan pemain pertahanan Diogo Dalot.
Perpindahan musim panas kali ini bagi United adalah sukar selepas mereka gagal mendapatkan beberapa pemain sasaran mereka termasuklah Harry Maguire, Jeroma Boateng dan Toby Alderweireld.
Malah usaha terakhir mereka untuk membawa masuk Diego Godin dari Atletico Madrid juga gagal, dengan pemain antarabangsa Uruguay itu menandatangani kontrak baru bersama kelab La Liga tersebut. 
Sanchez telah bermain hampir sepenuhnya di perlawanan pramusim bersama United selepas dia tidak beraksi di Piala Dunia tetapi masih berharap agar dapat bermain bersama-sama dengan beberapa lagi pemain yang berkualiti tinggi di atas padang.
"Saya akan sangat suka jika mereka menandatangani lebih banyak pemain bertaraf dunia," kata Sanchez kepada ESPN Brasil. "Tetapi itu adalah keputusan kelab."
Ketibaan pemain tengah Fred di United dengan nilai perpindahan sebanyak £ 52 juta dari Shahktar Donetsk adalah pembelian pemain berprofil tertinggi yang dilakukan oleh kelab tersebut pada musim panas ini. 
Dengan ketiadaan Ander Herrera dan Nemanja Matic akibat kecederaan, serta Paul Pogba yang baru minggu ini kembali mengikuti sesi latihan selepas cuti panjang berikutan Piala Dunia, pemain Brazil itu mungkin akan membuat penampilan pertamanya ketika United menghadapi Leicester City dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris mereka pada hari Jumaat ini.
Pemain antarabangsa Chile itu Sanchez berasa kagum dengan penampilan yang ditunjukkan oleh Fred selepas tampil kali pertama ketika menentang Real Madrid dalam saingan International Champions Cup, dan merasakan dia dan Andreas Pereira akan memberi perbezaan kepada cara permainannya pada musim ini.
"Sememangnya benar, [Fred] sangat mengagumkan saya dalam penampilan pertamanya," tambahnya. 
"Ini adalah apa yang kurang dalam pasukan ini - seseorang yang dapat memainkan 'jogo bonito' seperti yang mereka katakan di Brazil. 
"Dan Andreas Pereira juga. Saya fikir mereka adalah dua pemain yang mempunyai kualiti dan mereka akan dapat membantu saya dengan banyak."