Sadio Mane Gesa Rakan Sepasukannya Untuk Kekalkan Prestasi Dan Beri Pujian Kepada Naby Keita!




Sadio Mane menggesa Liverpool untuk mengekalkan prestasi yang mereka tunjukkan ketika memulakan musim ini dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas West Ham United pada hari Ahad.
Pemain antarabangsa Senegal itu menjaringkan dua daripada empat gol di Anfield, diikuti dengan jaringan dari Mohamed Salah dan Daniel Sturridge, ketika Reds memulakan musim 2018/2019 dengan persembahan yang menakjubkan.
Persembahan mereka adalah kesinambungan dari prestasi cemerlang mereka pada musim lalu dan ketika perlawanan-perlawanan pra musim - dan Mane menjelaskan mengapa sasaran para pemain adalah untuk mengekalkan tahap yang mereka telah lakukan.
"Ia adalah masa yang terbaik untuk kami," kata pemain No.10 itu kepada Liverpoolfc.com.
"Kadang-kadang sukar untuk memulakan musim dengan baik tetapi kami bermula dengan baik dalam pra-musim, kami memenangi hampir setiap perlawanan. Kami telah memulakan musim dengan hebat dan semua orang gembira. Kami akan cuba untuk mengekalkan tahap yang sama dan teruskan.
"Kami bermain bola sepak yang baik hari ini, kami mencipta banyak peluang. Kami bertahan sebagai satu pasukan, padat, dan cuba memenangi setiap perlanggaran dan perebutan bola. Kami menjaringkan empat gol dan kami selayaknya untuk menang.
"Perkara yang paling penting adalah mendapatkan tiga mata dan kami berjaya, jadi kami sangat gembira."
Naby Keita adalah salah satu daripada tiga pemain yang membuat penampilan sulung buat Liverpool ketika mereka menentang The Hammers, bersama dengan Alisson Becker - yang juga bermula di kesebelasan utama- dan pemain gantian Xherdan Shaqiri.
Mane mengenali pemain tengah itu semasa mereka bersama seketika di Red Bull Salzburg dan dia merasakan yang rakan sepasukannya itu akan terus meningkat sepanjang musim ini.
"Saya gembira untuk dia. Dia bermain dengan sangat, sangat baik. Semua orang gembira dengan peranan yang dilakukan olehnya untuk kami, "katanya ketika ditanya mengenai prestasi Keita.
"Permulaan biasanya tidak mudah untuk seorang pemain baru, untuk belajar tentang rakan sepasukan yang lain. Dia akan melakukan dengan lebih baik dan lebih baik untuk kita kerana dia mempunyai kualiti yang hebat. "