Reaksi Rudiger Mengenai Perbandingan Corak Permainan Di Bawah Conte Dengan 'Sarri-Ball' !




Antonio Rudiger berasa bosan dengan perbandingan di antara corak permainan pengurus baru Maurizio Sarri dengan bekas pengurus sebelum ini Antonio Conte, dengan The Blues membuat permulaan yang baik bagi musim 2018/2019.
Kemenangan 2-1 menentang Newcastle pada sabtu menunjukkan Sarri memulakan kerjayanya di Liga Inggeris dengan baik - dengan meraih tiga kemenangan dalam tiga perlawanan awal liga.
Pengurus Itali itu membuat beberapa perubahan di Stamford Bridge sejak ketibaannya pada musim panas ini, dengan beberapa muka baru digunakan bagi menggalakkan gaya permainannya.
Rudiger antara pemain yang menjadi pilihan utama dalam kesebelasan Sarri dan berasa gembira dengan perkembangan yang dilakukan, dengan bintang Jerman itu berhasrat untuk memberi fokus pada masa sekarang ini dan tidak mahu melihat kepada bekas pengurus sebelum ini.
"Berhenti membandingkan. Saya tidak mahu bercakap tentang masa lalu. Seperi yang anda lihat, kami mempunyai penguasaan bola yang sangat banyak dan cuba untuk memberi tekanan yang tinggi" kata Rudiger di St Jame's Park. 
"Ya, ia adalah petanda yang baik. Ia bermakna kami sudah bersedia - ia adalah perlawanan yang sukar tetapi pada akhirnya, dengan sedikit tuah, kami selayaknya menang.
"Tetapi jika anda melihat keseluruhan perlawanan, Saya tidak akan mengatakan ia sebagai tuah. Perlawanan demi perlawanan kami saya fikir ia semakin baik dan itulah sasaran kami. Sebelum rehat antarabangsa, kami mahu memenangi semua perlawanan dan kemudiaan kembali dan menyambung semula. Pada akhirnya, mendapatkan tiga mata adalah lebih penting kerana persembahan akan bergerak seiring.
"Jika saya melihat perlawanan ini dan perlawanan ketika menentang Arsenal di separuh masa dan 20 minit terakhir, kami telah meningkat. Tetapi, bagi saya, terutama sekali bagi semua, tiga mata adalah lebih penting."
Chelsea seterusnya akan menerima kunjungan Bournemouth ke Stamford Bridge pada hujung minggu ini dalam usaha untuk memenangi kesemua perlawanan pembukaan musim ini.