Ian Wright Akui Naby Keita Adalah 'Pemain Yang Lengkap' Dan 'Tambahan Yang Hebat' Buat Liverpool!




Ian Wright mengatakan 'pemain yang lengkap' Naby Keita akan menjadi 'tambahan yang hebat' kepada skuad Liverpool dan Liga Perdana Inggeris. 
Liverpool bersetuju untuk menandatangani pemain kebangsaan Guinea, Keita dari RB Leipzig musim panas yang lalu dan akhirnya tiba di Anfield pada bulan Jun ini. 
Keita adalah salah satu daripada bintang yang menyinar di Bundesliga sejak dua musim yang lalu dan akan menjadi pemain pertama yang memakai baju bernombor lapan bagi pasukan Liverpool sejak Steven Gerrard meninggalkan kelab tersebut pada tahun 2014.
Banyak nama-nama bintang yang telah menyertai Liga Perdana Inggeris musim panas ini - termasuklah Jorginho, Fred dan Alisson - tetapi Wright mengatakan bahawa dia sangat teruja untuk melihat Keita. 
"Terdapat banyak wajah baru untuk dilihat - dan yang paling saya suka untuk menonton adalah Keita di Liverpool," kata bekas penyerang Arsenal dan England itu kepada The Sun. 
"Ada yang mengatakan dia pemain yang paling dekat dengan Steven Gerrard, tetapi bermain di bahagian tengah sudah cukup sukar apatah lagi dengan tag itu, jadi mari lupakan tentang perkara itu buat masa ini.
"Sememangnya dia kelihatan sebagai seorang pemain yang lengkap - laju, kuat, dapat melakukan kerja pertahanan atau membantu bahagian serangan dan juga menjaringkan gol. 
"Dia akan menjadi tambahan yang hebat buat Liverpool dan Liga Perdana Inggeris."
Wright, yang berjaya menjaringkan hampir 200 gol untuk Arsenal, juga teruja untuk melihat bagaimana Lucas Torreira beraksi di Emirates berikutan perpindahannya dari Sampdoria.
Torreira menyerlah pada aksi Piala Dunia musim panas ini dan dijangka akan menjadi pemain tengah pertahanan pilihan pertama dalam skuad Unai Emery musim ini.
"Saya teruja untuk melihat bagaimana Torreira berada di Arsenal," tambah Wright. 
"Mereka sangat memerlukan perlindungan yang keras, dan kuat di bahagian tengah untuk mempertahankan barisan pertahanan untuk seketika. Dia mungkin adalah jawapan untuk itu."
Liverpool bakal memulakan kempen mereka bagi musim 2018-19 pada hari Ahad ini apabila mereka mengalu-alukan ketibaan West Ham ke Anfield. Arsenal pula akan melayan kunjungan juara bertahan Manchester City pada hari yang sama.