Real Madrid Mahu Dapat Sadio Mane Dari Liverpool!




Sadio Mane telah mencapai persetujuan untuk menyertai Real Madrid dari Liverpool, menurut laporan di Perancis.
Pemain berusia 26 tahun itu memainkan peranan penting di bahagian serangan pasukan Jurgen Klopp bersama-sama dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino, yang berjaya menjaringkan 20 gol dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara sepanjang musim ini.
Menurut laporan France Football, Mane semakin hampir untuk bergabung dengan Real Madrid setelah mempersetujui syarat perpindahan dengan pasukan pemenang Liga Juara-juara Eropah.
Tetapi perpindahan pemain antarabangsa Senegal itu ke Santiago Bernabeu kini dalam pertimbangan disebabkan perletakan jawatan Zidane pada minggu lalu.
Mane disenaraikan sebagai pemain pertama untuk ditandatangani pada perpindahan musim panas ini tetapi keputusan Zidane untuk meletak jawatan sebagai pengurus telah merumit perjanjian tersebut.
Laporan France Football mengatakan bahawa Zidane mempunyai pengaruh yang besar dalam keputusan Madrid untuk mendapatkan Mane tetapi selepas dia keluar, perpindahan itu ditangguhkan sehingga pengurus baru nanti dilantik.
Laporan itu juga mendakwa bahawa Madrid masih belum lagi berbincang mengenai nilai perpindahan dengan pihak Liverpool.
Keputusan Madrid untuk meneruskan usaha mereka untuk menandatangani Mane kini bergantung kepada pendapat pengurus baru yang akan mereka lantik untuk menggantikan Zidane.