Eden Hazard Memuji Tindak Balas Positif Lukaku Selepas Kritikannya Pada Perlawanan Pembukaan Pasukan Belgium!




Romelu Lukaku bertindak balas dengan sempurna terhadap kritikan Eden Hazard ketika Belgium membelasah pasukan Tunisia pada hari Sabtu. 
Pasukan bimbingan Roberto Martinez mengukuhkan kedudukan mereka dengan kemenangan 5-2 dan seterusnya berjaya layak ke pusingan kalah mati.
Lukaku diberi kritikan oleh Eden Hazard selepas perlawanan pembukaan mereka menentang Panama, dengan pemain Chelsea itu mengatakan penyerang Manchester United tersebut seperti bersembunyi di babak pertama perlawanan. 
Hazard juga turut menambah tentang kurangnya impak yang dimainkan oleh Lukaku bersama pasukan yang membuatnya merasakan seperti Belgium bermain dengan 10 orang. 
"Saya memberitahu Romelu pada separuh masa bahawa kami memerlukan dia," kata Hazard selepas kemenangan 3-0 ke atas Panama.
"Dia bersembunyi di kawasannya sendiri pada babak pertama. 
"Walaupun kami mempunyai pemain yang baik, tidak mudah bagi kami bermain dengan kekurangan seorang pemain. 
"Saya mahu dia cuba untuk lebih terlibat dalam permainan, terutama pada babak pertama - seperti yang kita tahu apa yang dapat dilakukannya."
Tetapi Lukaku, yang menjaringkan dua gol pada babak kedua ketika menentang Panama, nampaknya telah menerima nasihat Hazard dan bertindak balas dengan baik.
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol kedua Belgium pada minit ke-16 dan memberi peluang kepada Martinez untuk memimpin perlawanan 3-1 sebelum rehat separuh masa ketika Tunisia memberi tekanan untuk menyamakan kedudukan. 
Lukaku terpaksa dikeluarkan pada minit ke-59 akibat kecederaan ligamen buku lali tetapi Hazard memuji peningkatan yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya itu.
"Ia mudah untuk bermain dengan pemain seperti dia," kata Hazard selepas kemenangan ke atas Tunisia. 
"Anda menghantar bola ketika dia berada di depan anda dan dia akan menjaringkannya setiap masa. 
"Dia mempunyai permainan hebat dan menjaringkan dua gol, itulah yang anda mahukan."