MESKIPUN TANPA COUTINHO, REKOD TANPA KALAH CITY AKHIRNYA LEBUR DI ANFIELD…




Pasukan Liverpool bermula baik dalam perlawanan pertama mereka tanpa Coutinho dengan mengalahkan pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Hasil jaringan daripada Oxlade Chamberlain membawa Liverpool di hadapan sebelum kedudukan kembali terikat hasil jaringan Leroy Sane sebelum babak pertama tamat.
Pada separuh masa kedua, pasukan bimbingan Jurgen Klopp menunjukkan kesungguhan dalam memberikan tekanan kepada pasukan lawan yang akhir mampu membawa mereka mendahului 4-1 hasil jaringan Firmino, Mane dan Salah. Namun begitu, ia masih tidak menjanjikan kemenangan mudah buat Liverpool selepas City kembali bangkit hasil jaringan Benardo Silva dan Gundogan. Namun tuah memihak kepada Liverpool. Rekod tanpa kalah City akhirnya tercalar di Anfield. Lima perkara yang dapat diperhatikan dalam perlawanan tersbeut.
1. Karius Bukan Penjaga Gol No.1 Liverpool.

Karius sekali lagi disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk dipertanggungjawabkan menjaga gawang Liverpool dalam perlawanan penting ini. Pembelian Karius dengan memberikannya No.1 dengan harapan untuk memberi saingan kepada Mignolet nampaknya kurang menjadi. Hasil kesilapan daripadanya yang memberi ruang cukup besar kepada gol pertama City oleh Leroy Sane perlu dipersoalkan.
2. Kesilapan mudah bahagian pertahanan perlu dielakkan.

Liverpool mendahului City dengan selesa di kedudukan 4-1 namun kelekaan dan kesilapan dari bahagian pertahanan hampir-hampir mengundang padah buat Liverpool apabila dua jaringan yang membawa City kembali sekurang-kurang mendapatkan satu mata di Anfield adalah hasil kesilapan pertahanan yang perlu diperbaiki. Robertson antara pemain yang mencuri tumpuan dengan menunjukkan persembahan yang cemerlang terutama dalam mengawal pergerakan Sterling. Dengan Moreno kini kembali pulih, maka Klopp perlu membuat keputusan yang besar untuk mengisi posisi pertahanan kiri. Gomez di awal perlawanan nampak sedikit gugup dan hasil kesilapannya dalam membaca hantaran kepada Sane menyebabkan Sane berjaya masuk ke kotak penalti Liverpool dan membuat jaringan penyamaan buat City. Gandingan Lovren dan Matip juga patut diberi pujian. Namun pembelian Van Dijk akan menyaksikan salah seorang dari mereka perlu diketepikan untuk mengukuhkan lagi pertahanan Liverpool.
3. Emre Can, Oxlade dan Wijnaldum Tampil Cemerlang Di Bahagian Tengah.

Can, Oxlade dan Wijnaldum tampil sebagai trio bahagian tengah Liverpool yang juga perlu diberikan pujian dengan persembahan yang sangat cemerlang. Hasil percubaan Oxlade Chamberlain dari luar kotak penalti membawa Liverpool mendahului City. Peranan yang dimainkan oleh Wijnaldum adalah lebih ke atas berbanding Chamberlain dan Can juga perlu diberi pujian dengan membuat larian-larian dari bahagian tengah dengan baik cuma dia perlu memperbaiki dari aspek kreativiti dan hantarannya. Emre Can sememangnya pemain tengah terbaik Liverpool di bahagian tengah dan dalam perlawanan ini terbukti mengapa Liverpool perlu mengekalkannya dalam pasukan di posisi No.6 atau Defensive Midfielder.
4. Trio Liverpool masih berbisa meskipun tanpa Coutinho.
Coutinho akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Barcelona sebelum menjelangnya perlawanan menentang City di Anfield. Kehilangan Coutinho menjadi kerisauan pada penyokong Liverpool melihat kepada kehebatan yang ada pada diri bintang Brazil itu. Namun dalam aksi malam ini, ternyata kehilangan Coutinho sedikitpun tidak menjejaskan bahagian serangan Liverpool menerusi trio Firmino, Mane dan Salah di mana ketiga-tiga mereka tersenarai sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut. Kehilangan Coutinho sememangnya sesuatu yang menyedihkan tetapi melihat kepada keputusan perlawanan malam ini, nampaknya Liverpool mampu untuk terus memberika saingan dengan bintang yang mereka ada.
5. Kekalahan City Buat Kali Pertama Masih Tidak Menjejaskan Kedudukannya Di Tangga Teratas Liga.

Meskipun tewas dalam perlawanan menentang Liverpool, namun kedudukan City di puncak liga masih tidak terancam dengan jarak mata yang jauh dengan pasukan ditangga kedua Manchester United. Malam ini menyaksikan bintang-bintang utama City terutamanya Aguero dan Sterling tidak tampil dalam prestasi terbaik mereka selepas kehilangan beberapa peluang keemasan dan dijaga rapi oleh barisan pertahanan Liverpool. Semangat juang yang tinggi dari pemain pasukan City sehingga wisel penamat perlu diberikan pujian meskipun selepas ketinggalan 4-1 berjaya bangkit menjadikan kedudukan 4-3. Sememangnya perlawanan yang menarik untuk ditonton dengan aksi berbalas serangan daripada kedua-dua pasukan.