Real Madrid Menyertai Barcelona Memburu Bintang Dortmund





Percubaan Barcelona untuk menggantikan tempat Neymar ternyata tidak mudah, dan sekarang, menurut penyiar Catalan RAC 1, Real Madrid sepertinya mahu menambah masalah buat musuh tradisi mereka dengan turut memburu pemain yang sama diinginkan oleh Barcelona iaitu  Ousmane Dembele.

Penyerang berusia 20 tahun itu digantung dan didenda oleh Borussia Dortmund selepas gagal melaporkan diri untuk latihan pada hari Khamis di tengah spekulasi yang mengatakan bahawa dia mahu berpindah dan bergabung dengan Barcelona. Walaupun dikatakan bahawa Barca tetap menjadi pilihan utama Dembele, tetapi presiden Madrid, Florentino Perez telah meminta rakan sejawatannya di Dortmund, Reinhard Rauball, untuk memastikan dia mendapat kepastian tentang keadaan Pemain kebangsaan Perancis itu sama ada boleh dibeli atau tidak sebelum membuat sebarang tawaran. 

AS yang berpangkalan di Madrid menganggap bahawa Barca, yang telah ditolak tawaran awalnya terhadap Dembele, akan kembali menawarkan tawaran baru untuk pemain tersebut mengikut harga yang diminta oleh Dortmund iaitu sebanyak € 120 juta - € 150 juta bagi mencapai sebarang persetujuan antara kedua-dua buah kelab.