Neymar Memberitahu Messi dan Suarez, "Saya akan Tetap Di Barcelona"





Penyerang Brazil itu dilaporkan telah memberitahu rakan sepasukannya yang dia tidak akan meninggalkan Barcelona musim panas ini, walaupun PSG sedia untuk membelinya dengan tawaran £ 200 juta.

Neymar memberitahu Lionel Messi dan Luis Suarez bahawa dia mahu kekal di Barcelona, menurut laporan dari Sepanyol.

Minggu lepas, khabar angin yang telah mengejutkan penggemar bola sepak terutama Barcelona tersebar dalam media Itali apabila dikatakan pemilik Qatari PSG bersedia mengeluarkan dana untuk mengaktifkan klausa pelepasan £ 195 juta untuk Neymar. Ia juga turut menyatakan bahawa Neymar akan ditawarkan gaji sebanyak £ 25m setiap tahun untuk bermain di ibu negara Perancis itu.

Presiden Barcelona Josep Bartomeu dengan pantas menegaskan bahawa pemain berusia 25 tahun itu "tidak akan dijual", walaupun Neymar sendiri masih kurang pasti mengenai masa depannya.

Walau bagaimanapun, akhbar Sepanyol SPORT melaporkan bahawa Neymar memberitahu Lionel Messi dan Luis Suarez "Saya akan tetap di Barcelona" selepas rakan sepasukannya menghampirinya untuk membincangkan masa depannya dalam lawatan pra-musim di Amerika Syarikat.

Dalam perbualan 'lebih kurang sejam' menurut wartawan Sepanyol Toni Frieros, Messi dan Suarez cuba meyakinkan Neymar untuk menolak tawaran PSG dan meneruskan masa depannya di Barcelona.

Dan ternyata percakapan itu membuahkan hasil, apabila Neymar telah memberitahu rakan sepasukannya dia akan kekal di kelab buat masa ini.

Sementara itu, Barcelona tetap tenang atas spekulasi perpindahan tersebut, dengan jurucakap kelab itu menegaskan minggu lalu bahawa Neymar tidak akan dijual.

"Penjualan Neymar bukan sesuatu yang akan dirancangkan oleh kelab," kata Josep Vives pada sidang akhbar. "Kami sangat tenang.
"Dia adalah salah seorang pemain paling penting yang kami miliki, kami tidak akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang kami terima untuknya."