Mesut Ozil - Terus Bertahan di Arsenal




Pemain Mesut Ozil mengatakan bahawa fokus utamanya pada masa ini adalah untuk terus bertahan di Arsenal.

Namun, semua itu masih bergantung kepada hasil perbincangan berkaitan kontrak baharu bersama 'The Gunners' dengan ejen yang mewakili pemain berusia 28 tahun itu.

Mesut Ozil merupakan jentera penting bagi Pengurus Arsene Wenger sejak dia berpindah dari kelab gergasi La Liga Real Madrid pada awal musim 2013-2014. Pemain yang berasal dari Jerman itu menjadi salah satu watak utama dalam permainan pasukan tersebut.

Arsenal berasa sedikit bimbang apabila dikatakan bakal kehilangan Ozil kerana pemain tersebut telah menolak tawaran kontrak baru yang mereka tawarkan. Hal ini kerana pemain tersebut hanya mempunyai baki satu musim lagi dalam kontraknya bersama 'The Gunners'.

Beberapa kelab besar eropah telah dikhabarkan sedang berusaha untuk menggunakan situasi ini untuk mendapatkan pemain sensasi tersebut.

Namun begitu, bekas pemain Schalke dan Werder Bremen itu telah membuat keputusan tentang masa depannya yang dapat memberikan sedikit ketenangan kepada Arsenal.

"Sangat jelas bahawa keutamaan saya pada masa ini adalah untuk kekal bertahan. Selepas semua orang kembali ke London, kami akan duduk dan berbincang tentang masa depan saya," kata Ozil yang dipetik dari BBC.

"Dalam kesempatan ini, saya juga ingin mengatakan bahawa saya sangat gembira bersama Arsenal," katanya lagi.

Selain memperkatakan soal masa depannya, Ozil juga mengaku sudah bersedia untuk memulakan persediaan bersama pasukan bagi menghadapi musim baru.

"Pada saat ini, hal yang paling penting adalah perlawanan pramusim dan berusaha semaksimum mungkin sepanjang melalui jelajah, latihan, dan mendapatkan semula tahap kecergasan," kata Ozil.

Dalam pramusim bagi 2017-2018, Arsenal akan menjelajah ke Australia untuk menentang Sydney FC pada 13/7/2017 dan Western Sydney Wanderers pada 15/7/2017.

Selepas itu, 'The Gunners' akan bergerak ke China bagi menentang Bayern Munchen pada 19/7/2017 dan Chelsea pada 22/7/2017 dalam pertandingan pramusim bagi gelaran 'International Champions Cup' sebelum kembali semula ke London untuk bersedia bagi perlawanan Emirates Cup bertemu Benfica pada 29/7/2017 dan Sevilla pada 30/7/2017.