"Tiada Nasihat Untuk Klopp Dan Liverpool, Mereka Sudah Cukup Berpengalaman Untuk Menang!" - Rafael Benitez




Rafa Benitez mengatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kata-kata nasihat buat Jurgen Klopp menjelang perlawanan akhir Liga Juara-juara di antara Liverpool dan Tottenham pada malam Sabtu kerana berpendapat pengurus Jerman itu sudah cukup berpengalaman.
Benitez merupakan pengurus Liverpool terakhir untuk membawa pulang trofi Liga Juara-juara pulang ke Anfield pada tahun 2005, sementara Klopp telah tewas sebanyak dua kali dalam perlawanan akhir bagi pertandingan itu - bersama Borussia Dortmund pada tahun 2013 dan tahun lepas kekalahan 3-1 Liverpool kepada Real Madrid.
Pengurus Sepanyol itu mempunyai kesan yang luar biasa terhadap peminat Liverpool dan dia berharap dapat melihat Jordan Henderson akan menjulang trofi tersebut di Madrid, serta dia percaya Klopp mampu menyelesaikan tugas ini.
Ditanya menerusi Liverpool Echo jika dia mempunyai kata-kata semangat untuk Klopp, dia berkata: "Tiada! Dia cukup berpengalaman. Dia tidak perlukan apa-apa nasihat.
"Ianya hanya perlu mencuba untuk melakukan perkara sama yang telah anda lakukan kerana atas sebab itulah anda berada di perlawanan akhir."
Benitez, yang kini berada di Newcastle, menikmati untuk melihat perkembangan Liverpool sejak pelantikan Jurgen Klopp di Anfield pada tahun 2015, sedekad selepas dia melihat kebangkitan luar biasa The Reds di Istanbul.
Tetapi selepas terlepas peluang untuk memenangi Liga Perdana musim ini dan tewas dalam tiga perlawanan akhir sebelum ini, tekanan terus meningkat dari luar buat Klopp untuk mengubah peningkatan yang mereka tunjukkan kepada satu kejuaraan.
Benitez akui tidak risau mengenai kurangnya trofi, tetapi dia berfikir bahawa kemenangan di Madrid akan menjadi batu loncatan untuk kejayaan yang seterusnya buat Liverpool.
"Perkara pertama yang perlu diperkatakan adalah Jurgen Klopp telah melakukan tugasnya dengan sangat baik," katanya.
"Bagi saya, ianya sangat jelas. Ia adalah satu lagi bentuk cabaran.
"Pada masa kami, kami tidak mempunyai wang yang dimiliki oleh Liverpool dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Mereka telah mempertingkatkan pasukan dan skuad ini. Untuk memenangi perlawanan akhir ini akan menjadi satu pencapaian yang sangat bermakna. 
"Sekali lagi saya katakan ia akan memberikan mereka lebih keyakinan dan lebih kepercayaan serta lebih tenaga untuk masa depan kerana ianya akan menjadikan mereka lebih kuat.
"Sesetengah orang mungkin akan mengatakan bahawa mereka adalah pasukan pilihan yang akan menjadikan mereka terlebih keyakinan tetapi saya rasakan tidak. Pengalaman pada tahun lepas adalah lebih kepada positif berbanding negatif. 
"Saya yakin mereka mampu melakukannya dengan baik. Tetapi sekali lagi saya katakan, mengalahkan Tottenham bukanlah mudah."