Berita Buruk Buat United, Hirving Lozano Akui Mahu Menyertai Pasukan Yang Bermain Di Liga Juara-juara!




Pemain sayap PSV, Hirving Lozano mengatakan bahawa dia akan menolak perpindahan ke Manchester United selepas mengakui bahawa dia mahu bermain dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan. 
Pasukan Ole Gunnar Solskjaer gagal menamatkan musim ini di kelompok empat teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris dan menghadapi prospek untuk bermain di Liga Europa pada musim depan. 
Sementara itu, Lozano telah menikmati musim yang mengagumkan bersama PSV, berjaya menjaringkan 21 gol dan melakukan 12 assist dalam 38 penampilan. 
Laporan pada bulan Mac yang lalu mendakwa bahawa United telah berbincang dengan ejen Lozano, Mino Raiola untuk membincangkan kemungkinan perpindahan pada musim panas ini. 
Dan pemain antarabangsa Mexico itu mengakui bahawa dia akan terbuka untuk meninggalkan PSV.
"Saya fikir saya sudah bersedia untuk melangkah ke hadapan," kata Lozano kepada Voetbal International. 
"Tetapi ianya tidak masuk akal untuk membicarakan tentang perkara yang boleh berlaku, hati saya masih bersama PSV dan saya tidak pasti apa yang akan berlaku esok."
Walau bagaimanapun, Lozano berminat untuk menekankan pentingnya bermain untuk kelab yang bersaing di Liga Juara-Juara. 
"Ia adalah pentas yang saya inginkan, ia juga perlu untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik," kata Lozano, yang juga dikaitkan dengan perpindahan ke Napoli. 
"Ia adalah penting untuk saya bermain menghadapi pemain bola sepak terbaik di dunia."