Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bahawa Manchester United tidak akan mampu untuk memberi tumpuan semata-mata kepada Lionel Messi ketika mereka dalam usaha untuk menyingkirkan Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 31 tahun itu menikmati salah satu musim terbaik dalam kerjayanya dengan menjaringkan 33 gol dan melakukan 12 bantuan gol dalam hanya 29 perlawanan La Liga untuk Barcelona, yang berkelebihan 11 mata di puncak liga itu.
Prestasi Messi juga turut cemerlang di saingan Liga Juara-Juara apabila dia merupakan penjaring terbanyak pertandingan itu dengan lapan gol dari enam perlawanan sementara turut juga melakukan tiga bantuan gol.
Solskjaer mengakui bahawa ianya sukar untuk memastikan Messi terkawal tetapi menegaskan bahawa pertahanan United telah menikmati kejayaan menghadapi beberapa penyerang terbaik dunia musim ini.
Bercakap menjelang perlawanan United menentang Barcelona pada hari Rabu, Solskjaer berkata: "Apa jenis perancangan yang anda ada untuk menghentikan salah satu pemain terbaik di dunia?
"Tetapi kami sudah bermain menentang Juventus dan Cristiano Ronaldo, PSG dan (Kylian) Mbappe, Chelsea dan Eden Hazard (dalam Piala FA).
"Dia pemain yang hebat dan akan tertulis dalam sejarah sebagai salah satu pemain individu terbaik. Dia akan sukar untuk dihentikan, tetapi ianya tidak mustahil. Ia bukanlah tentang Messi menentang Manchester United.
"Kami tidak boleh memberi tumpuan kepada satu pemain sahaja, kami harus memberi tumpuan kepada kesebelas pemain mereka."
Messi telah menjadi pemusnah untuk pasukan United dalam saingan Liga Juara-Juara sebelum ini, dengan menjaringkan kedua-dua gol kemenangan Liga Juara-juara Barcelona ke atas The Red Devils pada tahun 2009 dan 2011.
Bintang Argentina itu juga mempunyai rekod yang luar biasa menghadapi kelab dari Liga Perdana Inggeris dalam pertandingan itu, menjaringkan 22 gol dalam 29 perlawanan, termasuklah dua gol menentang Spurs di peringkat kumpulan musim ini.
Tiada ulasan
Catat Ulasan