Liverpool semakin hampir untuk mempunyai skuad terbaiknya apabila mereka mengalu-alukan kedatangan Tottenham di Anfield pada hari Ahad nanti.
The Reds bakal menentang Tottenham untuk aksi Liga Perdana Inggeris yang sangat penting buat mereka, terdesak untuk tidak kehilangan sebarang mata dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga yang sengit.
Liverpool dalam kebimbangan mengenai tahap kecergasan bintang-bintang utamanya termasuklah Joe Gomez, Jordan Henderson, Dejan Lovren, Xherdan Shaqiri dan Naby Keita.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami Keita dan Shaqiri dalam tugas antarabangsa adalah tidak serius dan dijangka dapat diturunkan untuk beraksi menentang Spurs, menurut Evening Standard.
Kedua-dua pemain tengah itu tidak kerap diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini, tetapi mereka adalah watak penting di bangku simpanan untuk Jurgen Klopp sepanjang kempen kali ini.
Berita paling menggembirakan buat Liverpool adalah mengenai tahap kecergasan bintang utama Joe Gomez dan Dejan Lovren.
Gomez tidak pernah bermain sejak bulan Disember akibat keretakan kaki, tetapi semakin hampir untuk kembali ke sesi latihan penuh menjelang perlawanan Ahad ini.
Joel Matip telah melakukan tugas dengan sangat baik dalam mengisi tempat yang ditinggalkan oleh bintang Inggeris itu, tetapi Gomez menikmati musim yang cemerlang bermain bersama Virgil van Dijk di pertahanan tengah sebelum diketepikan akibat kecederaan, dan akan cepat diserapkan dalam kesebelasan utama The Reds sebaik sahaja pulih sepenuhnya.
Berita lain di bahagian pertahanan, Liverpool Echo mendakwa bahawa Lovren kini bersedia untuk kembali beraksi bersama kelab setelah beraksi penuh 90 minit buat kali pertama bersama Croatia selepas dua bulan.
Lovren diturunkan ketika menentang Hungary dan kembalinya pemain itu dalam senarai akan menjadi berita gembira buat Liverpool pada minggu-minggu terakhir musim ini.
Liverpool berada dua mata di hadapan Manchester City dalam liga, tetapi saingan sengit mereka itu masih mempunyai satu perlawanan yang belum dimainkan.
Klopp juga gembira melihat kapten Jordan Henderson kembali bermain untuk England semasa rehat antarabangsa selepas mengalami kecederaan buku lali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Seorang pemain yang masih mempunyai impak besar dalam perlumbaan merebut kejuaraan adalah Alex Oxlade-Chamberlain, yang semakin hampir untuk membuat penampilan pertamanya musim ini.
Oxlade-Chamberlain dijangka kembali ke sesi latihan penuh selepas rehat antarabangsa, meningkatkan peluang untuk pemain tengah itu memainkan peranan penting dalam baki kempen musim ini.
Selain daripada perjuangan merebut kejuaraan Liga Perdana, Liverpool juga masih dalam persaingan untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara.
The Reds diundi menentang Porto pada aksi suku akhir selepas menyingkirkan pasukan gergasi Jerman Bayern Munich daripada pertandingan itu.
Tiada ulasan
Catat Ulasan