Barcelona Buru Marcus Rashford Untuk Gantikan Luis Suarez!




Barcelona berada dalam pasaran untuk mencari penyerang yang baru selepas hilang kepercayaan kepada Luis Suarez dan meletakkan Marcus Rashford dalam senarai pendek tiga pemain untuk menggantikannya. 
Suarez telah menjaringkan 18 gol dalam 27 perlawanan dalam aksi La Liga untuk kelab gergasi Catalan musim ini tetapi gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam enam penampilan dalam saingan Liga Juara-Juara. 
Bekas penyerang Liverpool itu tidak menjaringkan gol secara konsisten seperti hari-hari awalnya tiba di Camp Nou dan Barcelona kini sedang bersedia untuk menggantikan pemain berusia 32 tahun itu pada musim panas ini. 
Rashford telah muncul sebagai salah satu sasaran utama untuk menggantikannya, menurut media Sepanyol, Mundo Deportivo.
Pihak Barcelona percaya pemain berusia 21 tahun itu mempunyai kebolehan secara teknikal yang diperlukan untuk menyerlah bersama pasukan penyandang juara Sepanyol itu, meskipun mereka mengetahui bahawa perbincangan untuk mendapatkannya adalah 'rumit' kerana United bukanlah pasukan yang suka melepaskan pemain terbaik mereka. 
Walau bagaimanapun, kontrak semasa pemain antarabangsa England itu akan tamat pada akhir musim depan, yang mungkin memberikan Barcelona harapan untuk mendapatkannya dengan harga yang murah, walaupun ada pilihan untuk memperpanjang kontrak itu selama setahun lebih. 
Rashford berada dalam senarai pendek tiga pemain yang mahu didapatkan oleh Barcelona termasuklah pemenang Piala Dunia Antoine Griezmann dan penyerang Serbia Luka Jovic, yang juga merupakan sasaran untuk pasukan Chelsea.