Seorang Lagi Pemain Utama Liverpool Tersenarai Dalam Kecederaan Selepas Lallana Dan Sturridge





Seorang lagi pemain utama akan terlepas dari senarai pasukan Liverpool yang bermain menentang Athletic Bilbao di Dublin pada hari Sabtu ini akibat sakit belakang.

Pemain 'playmaker' Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sepanjang jendela perpindahan musim panas ini dan kelab Sepanyol itu bersedia untuk meningkatkan usaha dan percubaan mereka untuk mendapatkan tandatangan pemain berusia 25 tahun itu setelah kini Neymar telah melengkapkan perpindahannya ke Paris Saint-Germain.

Coutinho tidak tersenarai bersama-sama dengan Daniel Sturridge, yang mengalami kecederaan paha dalam kemenangan 3-0 ke atas Bayern Munich pada hari Selasa lalu, dan juga kapten Jordan Henderson yang sakit.

Tempoh kecederaan untuk Sturridge belum diketahui lagi, tetapi Kapten The Reds, Jordan Henderson dijangka akan kembali semula ketika Liverpool memulakan kempen Liga Perdana mereka menentang Watford pada 11 Ogos nanti. 

Adam Lallana merupakan pemain yang terlebih dahulu terkeluar dalam senarai pasukan apabila mengalami kecederaan paha yang serius semasa menentang Athletico Madrid hingga menyebabkan Liverpool kehilangan khidmat pemain tersebut dalam tempoh 2 bulan. 

Dengan ketiadaan Lallana dan Coutinho akan membuka jalan bagi pemain yang lain seperti Ryan Kent, Ben Woodburn dan Marko Grujic untuk menunjukkan kepada Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bahawa mereka boleh bermain dengan baik dan patut dipertimbangkan untuk dipilih dalam kesebelasan utama ketika musim baru bermula.

Klopp juga perlu membuat keputusan untuk memilih pertahanan kanan Liverpool. Nathaniel Clyne adalah satu lagi pemain yang akan terlepas perlawanan pembukaan musim ini selepas mengalami beberapa masalah belakang dan 'hamstring' semasa pramusim mereka.

Dengan itu, Trent Alexander-Arnold kemungkinan besar akan dipilih untuk menggantikan Clyne apabila musim bermula. Tetapi Joe Gomez dan Jon Flanagan juga merupakan antara pesaing untuk mendapatkan tempat tersebut.

Selepas perjalanan ke Vicarage Road pada hujung minggu depan, Liverpool akan berkunjung ke Jerman untuk perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara menentang Hoffenheim. Perlawanan Sabtu ini di Ireland merupakan perlawanan pra musim terakhir untuk Liverpool sebelum bermulanya musim 2017-2018.