Pemain pertahanan Liverpool, Joel Matip mengakui bahawa dia berasa 'sangat selesa' berada di kelab itu di tengah laporan mengatakan dia bakal diberikan kontrak baru.
Pertahanan tengah Cameroon itu telah membantu The Reds memenangi Liga Juara-juara awal bulan ini dan mengakhiri musim ini sebagai gandingan Virgil Van Dijk di posisi pertahanan tengah.
Persembahan Matip sangat cemerlang dalam perlawanan tersebut, di mana mereka mengalahkan Tottenham 2-0 di Madrid, sementaraitu dia juga turut bermain dalam 22 perlawanan di Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Liverpool menamatkan musim di kedudukan kedua dibezakan hanya satu mata dengan Manchester City.
Masa depan pemain berusia 27 tahun itu tidak begitu jelas menjelang tahun 2019 dengan beberapa kecederaan mengganggu perkembangannya di Anfield sejak berhijrah ke kelab itu secara percuma dari Schalke pada musim panas 2016.
Tetapi persembahannya dalam tempoh enam bulan terakhir ini telah menarik perhatian para peminat dan laporan mengatakan Jurgen Klopp ingin memberikan Matip kontrak baru.
Pertahanan itu belum tentu akan menandatangani kontrak tersebut dengan statusnya sebagai pertahanan utama tidak dapat dipastikan musim depan.
Dia hanya kembali ke dalam kesebelasan utama Klopp berikutan kecederaan yang dialami oleh Joe Gomez dan juga Dejan Lovren, dengan kedua-dua pemain itu merupakan pemain yang digilirkan untuk berpasangan bersama Van Dijk.
Tetapi Matip memberikan bayangan bahawa dia melihat dirinya akan kekal di Liverpool untuk jangka masa akan datang.
Bercakap kepada Bild am Sonntag, dia bercakap ketika ditanya mengenai kemungkinan kembali ke Bundesliga: "Dalam bola sepak tiada yang mustahil. Buat masa ini, saya masih mempunyai baki dua tahun dalam kontrak semasa saya di Liverpool.
"Selepas beberapa masalah dan kecederaan di permulaannya, saya berasa sangat selesa di sini. Dan saya telah menjadi lebih matang sebagai seorang pemain dan lelaki di sini di England."
Matip telah menghabiskan sepanjang kerjaya profesionalnya bersama Schalke sebelum dia berpindah ke England tiga tahun yang lepas, selepas muncul menerusi akademi kelab tersebut,
Dan pertahanan tinggi lampai itu mengakui dia masih memberi sokongan terhadap kelab lamanya itu - mengakui dia risau melihat status mereka di Bundesliga untuk musim 2018-2019 dengan mereka berjuang untuk mengelak dari zon penyingkiran yang akhirnya berjaya menyelamatkan diri dengan jarak 5 mata dari zon tersebut.
"Masih terdapat ruang yang besar buat Schalke dalam hati saya," tambah Matip.
"Tambahan pula, kerisauan saya terhadap kelab itu sangat besar. Saya cuba untuk menonton setiap perlawanan di TV. Ianya hanya akan menjadi lebih baik musim depan."
Kejayaan menjulang trofi Liga Juara-juara merupakan trofi ketiga diraih Matip dalam kerjayanya selepas memenangi DFB Pokal bersama Schalke pada tahun 2011, diikuti dengan DFL Supercup pada tahun yang sama menewaskan Borussia Dortmund, yang pada masa itu dikendalikan oleh Jurgen Klopp.
Mengenai kejayaan Reds menjulang trofi Eropah buat kali keenam, Matip berkata: "Ianya sangat sukar untuk mempercayainya. Ianya sesuatu yang gila dengan munculnya kemenangan kami.
"Seluruh bandar berwarna merah ketika kami kembali dari Madrid. Keseronokan semula jadi, rasanya seperti ecstasy. Gambaran ini akan kekal dalam ingatan saya. Pengalaman yang luar biasa."
Matip akan menikmati rehatnya pada musim panas ini walaupun negaranya terlibat dengan pertandingan Africa Cup Of Nation di Mesir, dengan pemain itu memilih untuk tidak mewakili negaranya sejak tahun 2015.
Pengurus Clarence Seedorf berharap Matip - yang beraksi dalam Piala Dunia 2010 dan 2014 - akan mengubah pendiriannya untuk pertandingan pada musim panas ini, tetapi dia tidak mungkin akan bermain lagi untuk negaranya.
Tiada ulasan
Catat Ulasan